Translate

Thursday, February 2, 2017

Kursus Kimpalan 6G untuk pelajar tercicir di Tesdec

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) dengan kerjasama syarikat kejuruteraaan industri minyak dan gas, Syeds Offshore Engineering Sdn. Bhd. (Syeds Offshore Engineering) menganjurkan kursus Kimpalan 6G yang disasar kepada pelajar tercicir berusia 17 hingga 25 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Terengganu, A. Latiff Awang berkata, kursus selama 16 bulan itu merupakan tajaan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) iaitu agensi pengukuhan keupayaan Bumiputera di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
"Kursus di bawah Program Peneraju Skil Iltizam ini bertujuan memberi peluang kedua kepada pelajar yang keciciran pelajaran sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah mahu pun pengajian tinggi dalam bidang vokasional dan teknikal.
"Golongan sasaran akan dilatih dengan kemahiran tinggi itu agar memenuhi kehendak industri," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara Tesdec dengan Syeds Offshore Engineering di Tesdec, Bukit Khor di sini hari ini. - K! ONLINE

Pemandu teksi wajib carum Perkeso mulai Jun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lebih 160,000 pemandu teksi, kereta sewa, Uber dan Grabcar di seluruh negara akan diwajibkan untuk mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkuatkuasa Jun depan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, rang undang-undang skim perlindungan keselamatan sosial untuk golongan tersebut dijangka dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat pada Mac depan.

“Semasa pembentangan Belanjawan 2017 pada 21 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah mengumumkan geran kewangan khas kerajaan sebanyak RM60 juta untuk memulakan pelaksanaan skim tersebut.

“Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan rang undang-undang berhubung skim itu di Parlimen pada Mac ini agar pelaksanaannya dapat dilakukan mulai pertengahan tahun ini,” katanya selepas menghadiri Malam Perhargaan Perkeso bersama Media di sini kelmarin.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Ismail berkata, kadar caruman yang bakal dikenakan terhadap golongan pemandu teksi, kereta sewa, Uber dan Grabcar ialah RM13.08 sebulan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Perkeso telah memperuntukkan RM2.95 bilion bagi pembayaran pampasan dan faedah kepada pencarum dan warisnya sepanjang tahun lalu.

Ujarnya, pembayaran pampasan meliputi pencen ilat dan penakat itu melibatkan 506,000 penerima  yang layak di seluruh negara.

Wednesday, February 1, 2017

HSNZ tambah baik perkhidmatan Reproduktif

KUALA TERENGGANU - Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menambah baik perkhidmatan Teknologi Bantuan Reproduktif (ART) dengan meningkatkan bilangan pelanggan di kalangan pasangan yang mengalami masalah kesuburan kepada 150 orang setahun mulai tahun ini.
Pengarahnya, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, sebelum ini HSNZ yang merupakan satu daripada empat hospital awam yang menawarkan perkhidmatan berkenaan di negara ini hanya mampu menampung 50 pasangan setahun.
"Sejak perkhidmatan ART diperkenalkan di HSNZ pada tahun 2009, seramai 71 bayi telah berjaya dilahirkan menerusi ART iaitu teknik permanian berhadas (IUI) dan persenyawaan in-vitro (IVF).
"Pada tahun lalu sahaja, seramai sembilan wanita berjaya hamil setelah mendapat perkhidmatan ART di hospital ini. Empat sudah melahirkan anak dan lima lagi masih dalam tempoh kehamilan," katanya selepas sesi penerangan perkhidmatan ART oleh Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HSNZ, Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Kassim di Pusat Rawatan Harian hospital itu di sini hari ini. - K! ONLINE