Translate

Saturday, September 3, 2016

Empat klinik desa baharu bakal dibina

DUNGUN – Empat klinik desa yang sering ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh di negeri ini akan dibina semula di tapak baharu bermula tahun depan.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohammad Omar berkata, jabatannya telah menerima peruntukan sebanyak RM20.5 juta bagi projek pembinaan semula kesemua klinik desa berkenaan di kawasan lebih tinggi.

“Klinik-klinik desa terlibat ialah Kampung Pasir Raja di sini, Kampung Pasir Gajah dan Kampung Seberang Tayur, Kemaman serta Kampung Pasir Akar, Besut.

“Kesemua klinik desa berkenaan sering ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh menyebabkan Jabatan Kesihatan negeri memohon peruntukan untuk membinanya semula di lokasi baharu yang bebas bah," katanya selepas meninjau lokasi premis sementara Klinik Desa Kampung Pasir Raja di sini semalam.

Klinik desa sementara yang menelan kos RM280,000 itu bakal memberi perkhidmatan kepada tiga penduduk kampung berkenaan iaitu Kampung Pasir Raja, Kampung Syukur dan Kampung Jongok Batu di sini yang dianggarkan berjumlah 1,500 orang sehingga klinik desa baharu siap sepenuhnya.

Mohammad berkata, peruntukan tersebut telah diluluskan Kementerian Kesihatan baru-baru ini tersebut meliputi Klinik Desa Kampung Pasir Raja sebanyak RM7 juta, Seberang Tayur (RM5 juta), Pasir Gajah (RM5 juta) dan Pasir Akar (RM3.5 juta).

Friday, September 2, 2016

Produk inovasi SM Imtiaz Kuala Terengganu raih pingat di Romania

CEMERLANG. Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu meraih kejayaan dalam pertandingan Pameran Inovasi dan Kreativiti Eropah yang diadakan di Palas Mall, Lasi, Romania baru-baru ini.

Pengetuanya, Mohd. Yusoff Othman berkata, pingat emas diraih menerusi produk Nifty Cleaner Kit yang merupakan set pencuci permukaan tingkap, bilah kipas, jeriji besi, dinding dan perabot.

Beliau berkata, produk Dr. Duster With Green Cleaner pula meraih pingat perak dalam kategori ubatan pada pertandingan yang disertai 40 negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Rusia, Poland, Mesir dan Thailand.

"Pasukan sekolah yang dibimbing oleh guru Saripah Embong diwakili oleh pelajar tingkatan empat iaitu Afrina Mardhiah Ab. Manan dan Nur Athirah Noor Asa'ari," katanya.

Thursday, September 1, 2016

Nur Dhiyana johan Pencarian Anggun Ikon Hijabtista

JELITA. Agensi pencarian model, SRF Event Management & Services menganjurkan pertandingan Pencarian Anggun Ikon Hijabista di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Pengurusnya, Roslina Zakaria berkata, pertandingan tersebut bertujuan untuk mencari bakat baharu dalam bidang peragaan, pengacaraan dan lakonan dalam kalangan gadis Pantai Timur.

Beliau berkata, Nur Dhiyana Zakaria dari Kelantan muncul johan Pencarian Anggun Ikon Hijabista tersebut sekali gus menerima wang tunai RM2,500, pakej percutian dan hadiah iringan yang disampaikan isteri Menteri Besar Terengganu, Halina Zakaria.