Translate

Wednesday, July 8, 2015

Jelajah Ramadan Biro Profesional Muda Pemuda UMNO

MESRA. Biro Profesional Muda Pemuda UMNO menganjurkan program Jelajah Ramadan di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur (SMTKL) Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Pengerusinya, Shahril Hamdan berkata, seramai 40 pelajar SMTKL yang terdiri daripada golongan anak yatim diraikan dalam majlis berbuka puasa.

Beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, program yang julung kali diadakan oleh biro tersebut bertujuan untuk mendekati pelajar tingkatan empat dan lima terbabit yang bakal berbakti kepada negara dalam kerjaya profesional suatu hari nanti.

"Kami juga menghulurkan sedikit sumbangan bagi mereka menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi," katanya.

Turut hadir Pengerusi Biro Profesional Muda Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Johari Yazid.

Tuesday, July 7, 2015

PM ambil tindakan undang-undang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SEMENYIH – Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari ini mengenai bentuk tindakan yang akan diambil terhadap pihak yang menuduh kononnya beliau menerima sejumlah wang daripada beberapa entiti yang didakwa mempunyai hubungan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perdana Menteri berkata, tuduhan berniat jahat itu telah dirujuk kepada barisan peguam beliau bagi mendapatkan nasihat untuk tindakan susulan.
“Saya merujuk kepada tuduhan liar yang telah dibuat terhadap saya kononnya saya telah ‘songlap’ ataupun curi AS$700 juta (RM2.6 bilion) duit IMDB masuk ke akaun (bank) peribadi saya.
“Saya telah merujuk perkara ini kepada peguam-peguam saya dan mereka akan memberi nasihat mengenai tindakan-tindakan susulan dalam bentuk undang-undang yang boleh dibuat dalam negara dan luar negara.
“Insya-Allah saya akan buat keputusan dalam masa beberapa hari lagi berhubung tindakan yang akan saya ambil berhubung dakwaan yang cukup jahat ini,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika menghadiri Majlis Iftar Rakyat Negeri Selangor bersama Perdana Menteri di Masjid Bandar Rinching di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar.
Jumaat lalu, akhbar The Wall Street Journal menyiarkan laporan dengan mendakwa sejumlah hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, pada hari sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.

1MDB pula juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada Najib.
Berikutan itu, sebuah Pasukan Petugas Khas yang dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia telah memulakan siasatan berhubung isu pe­nyaluran dana syarikat 1MDB.

Thursday, July 2, 2015

Kementerian Pertahanan, Bavarian Nordic dan Pharmaniaga kerjasama hasil vaksin demam denggi


KUALA LUMPUR - Firma bioteknologi dari Denmark, Bavarian Nordic bekerjasama Kementerian Pertahanan dan Pharmaniaga Berhad dalam penghasilan vaksin demam denggi yang dijangka siap pada tahun 2021.
Naib Presiden Hal Ehwal Komersial Bavarian Nordic, Dr. Lars Wegner berkata, pembangunan vaksin tersebut yang kini dalam peringkat pra klinikal sejak pertengahan tahun lalu itu bercirikan tempatan khusus untuk rakyat negara ini.
"Pra klinikal yang melibatkan kajian di dalam makmal akan memakan masa dua hingga tiga tahun.
"Manakala peringkat kedua iaitu klinikal iaitu ujian kesesuaian vaksin itu ke atas manusia pula dijangka selesai dalam tempoh tiga hingga lima tahun," katanya selepas menandatangani perjanjian kajian dan pembangunan vaksin denggi terbabit di sini hari ini.
Kementerian Pertahanan diwakili Timbalan Ketua Setiausahanya, Suriani Ahmad manakala Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Fashila Emran mewakili firma farmaseutikal tempatan itu. - KOSMO!