Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
PELABUHAN KLANG - Cubaan 15 warga Indonesia termasuk dua wanita untuk menyusup keluar dari negara ini secara haram tidak kesampaian apabila mereka diberkas sepasukan Polis Marin di perairan Pantai Morib , Kuala Langat dekat sini semalam.
Dalam serbuan pada 4.30 pagi itu, kesemua individu yang disyaki pendatang asing tanpa izin ( PATI ) berusia dalam lingkungan 25 hingga 53 tahun tersebut ditemui di dalam sebuah sampan kira-kira satu batu nautika dari Pantai Morib .
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Polis Marin Wilayah Satu, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, sebelum itu, sepasukan anggota Polis Marin sedang menjalankan Ops Cantas Khas di kawasan perairan Selangor.
"Semasa meronda mengguna bot ronda RH16, pasukan Polis Marin berkenaan terserempak dengan sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan di perairan Pantai Morib .
"Pasukan bertugas seterusnya bertindak mengepung seterusnya menahan bot yang dinaiki PATI warga Indonesia berkenaan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Norzaid berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek di dalam bot itu sedang dalam perjalanan menuju ke Indonesia dari Pantai Morib .
Menurut beliau, siasatan juga mendapati mereka dipercayai cuba melarikan diri dari negara ini bagi mengelak diberkas dalam Ops 6P yang dilancar untuk memburu PATI baru-baru ini selain tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
"Sampan dan kesemua PATI berkenaan telah ditunda dan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang di sini untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007," katanya.
Translate
Wednesday, February 5, 2014
Tuesday, February 4, 2014
23 kakitangan termasuk empat pegawai tertinggi PKNS dipecat serta-merta
SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dilanda kontroversi lagi apabila seramai 23 kakitangan termasuk empat pegawai pengurusan tertinggi dipecat berkuatkuasa serta-merta tanpa sebarang notis pemberitahuan awal.
Mereka yang dipecat merupakan pegawai dan kakitangan anak syarikat PKNS, PKNS Holdings Sdn. Bhd. iaitu Ketua di Jabatan Pemasaran, Sumber Manusia, Kewangan dan Pembangunan Perniagaan yang berkhidmat secara kontrak bagi tempoh paling lama adalah tiga tahun manakala yang baru adalah empat bulan.
Wakil kumpulan berkenaan yang juga bekas Pengurus Kanan Pemasaran, Dr. Alif Aiman Abdullah berkata, notis penamatan kontrak itu tidak mengikut prosedur kerana bukan sahaja tanpa notis pemberitahuan awal malah melanggar kontrak apabila hanya menawarkan pampasan dua bulan sahaja.
"Pemecatan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan kemelut yang melanda PKNS pada bulan lalu dan kami menjadi mangsa akibat pertikaian antara kerajaan negeri Selangor dengan bekas Pengurus Besar dan Setiausaha Kerja PKNS, Datuk Othman Omar dan Norita Mohd. Sidek," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Othman dan Norita kini sedang digantung tugas selepas didakwa terlibat dalam siasatan dalaman berhubung kes penamatan perkhidmatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga agensi itu. - KOSMO!
CCTV rakam pembakar patung lilin
Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
SHAH ALAM – Pengurusan taman tema digital, i-City semalam mendedahkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang mengandungi imej tiga individu disyaki terlibat dalam perbuatan sabotaj memusnahkan lebih 10 patung lilin figura terkenal dalam kebakaran di muzium lilin interaktif, The Red Carpet di sini Rabu lalu.
Pengurus Informasi I Berhad, Tan Soke Cheng berkata, rakaman CCTV selama lebih kurang 34 saat itu menunjukkan sekurang-kurangnya tiga individu sedang membakar salah sebuah patung lilin yang diletakkan di ruang pameran muzium tersebut.
"Tiga individu yang disyaki melakukan khianat itu dipercayai memasuki The Red Carpet menerusi pintu masuk premis tersebut sekitar pukul 3 pagi, Rabu lalu.
"Rakaman CCTV itu telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
"Buat masa ini muzium masih ditutup. Kami belum dapat menetapkan tarikh beroperasi semula dan tempoh membaiki patung yang terbakar kerana menggunakan khidmat pereka patung lilin dari China yang kini masih bercuti sempena perayaan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias (gambar kecil) yang dihubungi mengesahkan menerima rakaman CCTV tersebut daripada pengurusan i-City baru-baru ini.
Beliau berkata, rakaman CCTV berkenaan yang mengandungi imej tiga suspek berkenaan kepada makmal untuk dianalisis.
"Polis juga sedang menunggu laporan forensik daripada pihak bomba. Siasatan sedang dijalankan namun setakat ini, polis tidak menolak kemungkinan kebakaran tersebut disebabkan oleh perbuatan sabotaj.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan," katanya.
Kosmo! 30 Januari lalu melaporkan lebih 10 patung lilin yang mempamerkan figura terkenal di The Red Carpet terbakar dipercayai akibat perbuatan sabotaj.
Antara patung lilin yang terbakar termasuklah pemimpin revolusi komunis China, Mao Zedong dan Ratu Elizabeth II.
Subscribe to:
Posts (Atom)
