Translate

Thursday, January 2, 2014

300 pelajar di Perak sertai seminar alam kerjaya

PENDEDAHAN. Seramai 300 pelajar sekolah menengah, kolej vokasional dan Institut Kemahiran Malaysia (IKM) dari seluruh Perak menyertai seminar Selangkah ke Alam Kerjaya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Pengarah program, Muhammad Razimi Jamaludin berkata, seminar anjuran Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Dr. Muhammad Amin Zakaria.
Beliau berkata, peserta didedahkan tentang persediaan melangkah ke alam kerjaya selain peluang dan kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi tempatan.
"Peserta dibantu memilih jurusan yang sesuai dengan cita-cita, minat dan kelulusan demi masa depan mereka," katanya.

Wednesday, January 1, 2014

D Nur tawar khidmat spa mesra muslimah

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH  - Pusat kecantikan dan spa, D Nur  Beauty   House  di sini menawarkan perkhidmatan rawatan kecantikan yang mesra muslimah.

Pengusahanya, Norul Emasyitah Norman berkata, selain menyediakan ruang privasi kepada pelanggan, pusat kecantikan dan spa itu juga memberi penekanan kepada etika aurat sewaktu memberikan perkhidmatan.

"D Nur  Beauty   House  sedar kepentingan penjagaan aurat antara pelanggan dan pekerja spa biarpun sama jantina.

"Oleh itu, pelanggan khususnya wanita Islam tidak perlu risau sebaliknya merasa selesa mendapatkan perkhidmatan kecantikan dari hujung rambut hingga hujung kaki di pusat kecantikan dan spa kami," katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Norul Emasyitah menerangkan, D Nur  Beauty   House  yang terletak di bandar Meru Raya di sini menawarkan perkhidmatan yang lengkap seperti menggunting rambut, rawatan muka, kaki, kuku dan rambut.

Perkhidmatan urutan badan, solekan muka, mandi bunga, rawatan resdung dan mandi lulur turut ditawarkan.

Menurutnya, kesemua perkhidmatan tersebut menggunakan minyak aromaterapi yang sesuai untuk semua jenis kulit.

"Memahami pelanggan kami terdiri daripada pelbagai latar belakang sosial dan ekonomi, pakej-pakej yang disediakan adalah sesuai dengan bajet mereka iaitu antara RM19 hingga RM200.

"Antara pakej yang popular ialah rawatan resdung tanpa asap yang bukan sahaja tidak memeritkan mata pelanggan malah terbukti berkesan mengurangkan alahan," katanya.

Norul Emasyitah berkata, pelanggan juga boleh memiliki kad keahlian dengan kadar RM25 setahun. Ia membolehkan pelanggan menikmati diskaun antara lima peratus sehingga 20 peratus bagi setiap perkhidmatan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 012-5564 200 atau layari laman sosial Facebook di facebook/D Nur  Beauty   House   Ipoh .

Kanak-kanak Orang Asli Temiar berkhatan beramai-ramai

IBADAH. Seramai 20 kanak-kanak Orang Asli dari suku Temiar berkhatan beramai-ramai pada program Jiwa Murni anjuran Kor Kesihatan Diraja (KKD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Legap, Sungai Siput, Perak baru-baru ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Razak Md. Yusoff berkata, program yang merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan bagi merapatkan hubungan ATM bersama rakyat itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Usahawan dan Koperasi Perak, Mohd. Nizar Zakaria.
Beliau berkata, kesemua kanak-kanak Orang Asli berkenaan dikhatankan secara percuma oleh doktor dan paramedik KKD ATM.
"Pada program sama, kita turut menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma kepada hampir 1,300 masyarakat tersebut yang menetap di sekitar Sungai Siput," katanya.