Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Empat anggota polis cemas apabila kereta mereka diserang
oleh kira-kira 20 samseng yang bersenjatakan parang dan pedang samurai
di Kawasan Perusahaan Menglembu di sini Rabu lalu.
Kejadian berlaku pukul 1.15 pagi semasa anggota polis itu cuba
menghalang kumpulan dikenali sebagai Geng 08 Vinod itu yang dalam
perjalanan untuk menyerang sebuah kumpulan samseng lain.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, Geng 08 Vinod
yang menunggang motosikal itu bertindak ganas dengan menetak kenderaan
polis tersebut berkali-kali menyebabkan cermin hadapan dan sisi
pemandu pecah.
“Dalam keadaan kelam-kabut itu, salah seorang anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran ke udara.
“Tembakan itu menyebabkan kumpulan lelaki itu bertempiaran melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim.
Mohd. Shukri berkata, ekoran kejadian itu, operasi memburu suspek
telah dilancarkan dan enam anggota geng terbabit yang berusia lingkungan
20-an berjaya ditahan di sekitar Menglembu dan Batu Gajah dekat sini.
Ujarnya, polis turut merampas 23 bilah parang dan pedang samurai milik mereka.
Menurut beliau, dua lagi suspek berusia 23 dan 24 tahun diberkas pada pukul 2.45 pagi semalam di sekitar bandar raya ini.
"Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan untuk membalas dendam ke atas Geng 04 Menglembu yang didakwa membunuh seorang rakan mereka di Batu Gajah kira-kira sejam sebelum kejadian.
"Difahamkan, mangsa yang berumur 20 tahun diserang ketika berbual dengan beberapa rakan di hadapan rumahnya di Menglembu pada pukul 11.50 malam" katanya.
Mohd. Shukri berkata, mangsa telah ditarik ke dalam sebuah kereta sebelum ditetak dan ditinggalkan di tepi jalan di kawasan Pusing, Batu Gajah.
Jelasnya, kesemua lapan lelaki tersebut ditahan reman selama enam hari sehingga 9 Julai ini untuk membantu siasatan.
"Empat daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah," ujarnya.
Jelasnya, kes serangan ke atas anggota polis itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan manakala kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 akta yang sama.
Translate
Saturday, July 7, 2012
Thursday, July 5, 2012
Penolong kanan sekolah ungguli cabaran memancing
PANCING. Lebih 1,000 kaki pancing menyertai Cabaran Memancing Coral Fishing Resort di Teluk Muroh, Lumut baru-baru ini.
Pertandingan anjuran Arif Event Management (AEM) dengan kerjasama Coral Fishing Chalet Resort itu diungguli Zulkifli Ibrahim, 56.
Zulkifli yang juga Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor meraih ganjaran wang tunai RM20,000 setelah berjaya menaikkan ikan senangin seberat 2.69 kilogram.
Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi Zi Mat, 47, dan Mohd. Nasib Abdul Majid, 50, yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan RM4,000.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengarah Urusan AEM, Arif Zakariah.
Wednesday, July 4, 2012
Perak lancar pakej berbasikal sambil bercuti
LANCAR. Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) memperkenal Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia Perak Bike Ride di Taman Dr. Seenivasagam, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Pelancaran tarikan pelancongan terbaharu Perak yang mempunyai 11 pakej itu disempurna Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh, Datuk Abdul Rahim Ariff.
Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Azizan Noordin berkata, pelancong berpeluang berbasikal mengelilingi lokasi bersejarah di Perak seperti Ipoh, Gopeng dan Pulau Pangkor dengan pakej berharga antara RM87 dan RM408.
"Kita perkenal pakej ini kerana konsep pelancongan berbasikal sudah menjadi trend pelancongan terkini terutama di negara-negara maju," katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)


