Translate

Thursday, March 17, 2011

Polis Ipoh dekati masyarakat melalui program CCOP

TURUN PADANG. Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh mengadakan konvoi orientasi komuniti polis (CCOP) peringkat Balai Polis Kampung Baru di Restoran Nasi Kandar Makmur, Ipoh baru-baru ini.

Konvoi berkenaan yang bertujuan merapatkan hubungan masyarakat setempat dengan pegawai polis itu merupakan lanjutan daripada program komuniti polis yang dianjurkan sebelum ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supritendan Mohd. Isa Hussin berkata, pada konvoi itu, beliau bersarapan pagi dengan wakil penduduk sambil memberi maklum balas terhadap aduan dikemukakan.

"Kami percaya ia mampu mengurangkan kadar jenayah selain membolehkan orang ramai berkomunikasi secara terus dengan pegawai polis tersebut," katanya.

Bom lama bawah timbunan besi


Oleh AZLI ADLAN dan AINSAFRE BIDIN
berita@kosmo.com.my

TELUK INTAN - Lapan pekerja yang sedang mengumpul besi buruk terkejut apabila menemui sebutir bom mortar lama di sebuah pusat pengumpulan barangan lusuh di Jalan Maharaja Lela di sini semalam.

Bom yang masih aktif dan dianggarkan berusia lebih 60 tahun itu dijumpai di bawah timbunan besi pada pukul 9.30 pagi.

Pemilik pusat pengumpulan itu, Borhan Alias, 50, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh salah seorang pekerjanya yang berasal dari Myanmar.

"Sebaik menerima panggilan telefon daripada pekerja itu, saya bergegas ke tempat kejadian dan mengarahkan semua pekerja supaya keluar dari kawasan itu kerana bimbang ia mengancam nyawa mereka," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Borhan, dia kemudian membuat laporan polis berhubung penemuan bom tersebut.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

" Bom mortar lama sepanjang 56 sentimeter itu dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua," katanya.

Menurutnya, bom tersebut yang dianggarkan seberat 3 kilogram itu telah dimusnahkan di tempat tersebut pukul 4.30 petang.

Wednesday, March 16, 2011

KAMBG anjur Pameran Pendidikan Perak

IPOH - Kelab Anak Malaysia Batu Gajah (KAMBG) dengan kerjasama PenExpo Events Sdn. Bhd. (PenExpo Events) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menganjurkan Pameran Pendidikan Perak selama dua hari mulai Sabtu ini.

Penaung KAMBG, Datuk Chang Ko Youn berkata, ia akan diadakan di Stadium Indera Mulia di sini mulai pukul 9 pagi hingga 9 malam.

Katanya, pameran terbuka kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala institusi pengajian tinggi (IPT) yang akan menyertai pameran tersebut termasuklah Institut Pengurusan Singapura dan Universiti Malaysia Kelantan.