Translate

Saturday, November 13, 2010

Sambutan Deepavali di rumah MB Perak meriah

1MALAYSIA. Buat julung kalinya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir menganjurkan majlis rumah terbuka Deepavali di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Ipoh baru-baru ini.

Biarpun dalam keadaan hujan renyai, ia tidak menghalang lebih 3,000 penduduk berbilang kaum dari seluruh Perak menghadiri majlis tersebut.

Zambry berkata, beliau berhasrat untuk menjadikan rumah terbuka Deepavali di kediaman rasmi Menteri Besar Perak itu sebagai acara tahunan.

"Sebelum ini saya juga telah menjamu rakyat sempena Aidilfitri dan Tahun Baru Cina. Majlis seperti ini dianjurkan sebagai menghargai kepelbagaian kaum dan memupuk perpaduan di negeri ini," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi MIC Perak, Datuk S. Veerasingam.

Rendang Tok Mak Nik dijual di 7-Eleven

IPOH - Rendang tok , produk makanan popular siap saji yang dihasilkan syarikat bumiputera, Rendang Tok Mak Nik Sdn. Bhd. ( Rendang Tok Mak Nik ) kini boleh didapati di semua rangkaian kedai serbaneka, 7-Eleven seluruh negara mulai bulan depan.

Pengurus syarikat tersebut, Sharifuddin Mohamed berkata, sebanyak 24,000 bungkusan produk terbabit akan ditempatkan di lebih 1,000 rangkaian kedai serbaneka tersebut di seluruh negara pada setiap bulan.

Selain rendang tok , syarikat turut mengeluarkan Rendang Pedas Ayam, Sambal Tumis dan Acar Buah-Buahan.

"Semua produk itu hanya perlu direndam dalam air panas mengikut masa yang ditetapkan dan ia boleh dinikmati dengan mudah tapi tetap menyelerakan, setiap pek dijual daripada harga di antara RM5 hingga RM8.30," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sharifuddin yang juga anak Nafsiah Yeop iaitu pengasas Rendang Tok Mak Nik berkata, sebelum ini produk terbabit telah memasuki pasar raya besar Giant, Tesco, Mydin dan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) sejak tahun lalu.

Beliau berkata, para pengguna tidak perlu berasa was-was dengan produk siap saji buatan syarikatnya kerana ia tidak mengandungi perasa, pengawet, pewarna tiruan dan boleh tahan selama dua tahun.

"Ia memudahkan pengguna merasai keenakan masakan kami terutamanya Rendang Tok dan ia sesuai dimakan bersama nasi, roti, bubur, ketupat dan lemang.

"Syarikat juga merancang untuk melancarkan sembilan lagi produk siap saji dan pes pada tahun hadapan bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat," katanya.

Pemandu berusia 60 tahun mabuk ditahan

IPOH - Seorang warga emas berusia 60 tahun yang memandu di bawah pengaruh alkohol adalah antara yang ditahan dalam Ops Samseng di sekitar bandar raya ini awal pagi kelmarin.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rajab berkata, lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987."Sebanyak 132 saman telah dikeluarkan kepada pesalah jalan raya semasa operasi selama lima jam yang bermula pukul 2 pagi itu.

"Operasi itu dibuat di sepanjang Jalan Raja Musa Aziz, Jalan SP Seenivasagam dan Jalan Raja Nazrin Shah Jalan Silibin," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd. Rodzi berkata, kesemua saman dikeluarkan terhadap 88 penunggang motosikal, empat pemandu kereta dan masing-masing seorang pemandu van dan jip.

Katanya, ia melibatkan sebanyak 33 kesalahan tidak mempunyai lesen memandu; 15 kesalahan cukai jalan tamat tempoh (15); memotong dalam keadaan bahaya (15); melanggar lampu isyarat (13) dan tidak menampal pelekat P (3).