Translate

Wednesday, March 19, 2025

Atuk didakwa pukul isteri hingga cedera

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki warga emas yang juga pesara kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul isterinya hingga cedera pada bulan lalu.

Tertuduh, Sidik @ Ismail Mamat, 76, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkfifli.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memukul isterinya, Khatijah Muhammad, 70, sehingga cedera.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan Sidik di sebuah rumah di Kampung Gong Pasir, Dungun pada pukul 10 malam, 23 Februari lalu.

Dia juga berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum di bawah Seksyen 325.

Mahkamah membenarkan Sidik dibebaskan dengan wang jaminan RM8,000 dan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 13 April depan.

Tertuduh juga diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan dan tidak menganggu mangsa sepanjang tempoh prosiding. – KOSMO! ONLINE

Jambatan Angkat Kuala Terengganu jambatan pertama dunia dijana tenaga solar

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jambatan Angkat Kuala Terengganu menjadi jambatan pertama di dunia beroperasi hampir sepenuhnya dengan janaan tenaga boleh diperbaharui (RE) iaitu solar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Berhad (TI), Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, inisiatif penggunaan 98 peratus tenaga solar tersebut telah mendapat pengiktirafan badan antarabangsa, The International Tracking Standard Foundation baru-baru ini.

-Advertisement-

Beliau berkata, menara utara dan selatan jambatan terbabit masing-masing dijanakan tenaga solar sebanyak 176 megawatt dan 294 megawatt setahun.

“Ia merupakan inisiatif bagi menyokong aspirasi negara untuk mencapai matlamat kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Langkah beralih kepada RE ini juga mampu melonjakkan lagi Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebagai destinasi pelancongan pilihan di peringkat global,” katanya di Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini malam tadi.

Terdahulu Burhanuddin Hilmi mewakili TI menandatangani perjanjian pengendalian dan pengurusan operasi Jambatan Angkat Kuala Terengganu dengan kerajaan negeri Terengganu yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zulkifli Ali.

Perjanjian itu menjadikan TI Properties yang merupakan anak syarikat TI terus menjadi operator pengendalian dan pengurusan operasi ikon pelancongan Terengganu tersebut untuk tempoh lima tahun sehingga 2029. – KOSMO! ONLINE

Penjawat awam disyaki ambil rasuah pusat jagaan ditahan SPRM

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang penjawat awam direman selama lima hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah RM3,000 sebagai balasan mendaftarkan pusat jagaan milik sebuah syarikat pada dua tahun lalu.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 30-an itu dibenarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

-Advertisement-

Sumber berkata, siasatan awal mengesyaki suspek telah melakukan perbuatan demikian antara bulan Julai hingga September 2023.

“Suspek disyaki menerima suapan terbabit menerusi transaksi pindahan ke akaun bank miliknya.

“Ia dipercayai sebagai dorongan untuk memastikan kelulusan pendaftaran pusat jagaan milik sebuah syarikat,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, suspek ditahan sewaktu memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu pada pukul 12 tengah hari kelmarin.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Geng curi kabel telekomunikasi ditumpas di Besut

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Tiga lelaki diberkas kerana disyaki mencuri kabel telekomunikasi di Kampung Gerai di sini hari ini.

Ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan pada pukul 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, kenderaan pacuan empat roda dinaiki kesemua lelaki itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

“Suspek enggan memberi kerjasama sebalik memecut laju kenderaan kereta sebelum namun berjaya juga dipintas kira-kira satu kilometer kemudian.

“Pemeriksaan menjumpai sejumlah kabel telekomunikasi disyaki dicuri di dalam kenderaan pacuan empat roda itu,” katanya di sini hari ini.

Azamuddin berkata, peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel telekomunikasi terbabit juga telah dirampas.

Beliau berkata, semakan mendapati tiga lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian urin mereka pula negatif.

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Aktiviti lombong emas haram Rusila ditumpaskan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan melombong emas secara haram yang disyaki dilakukan di Lubuk Terak, Rusila di sini semalam.

Serbuan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada pukul 5 petang itu berjaya merampas peralatan melombong emas dianggarkan bernilai RM1.89 juta.

-Advertisement-

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, Batalion 9 PGA melaksanakan Op Bersepadu Khazanah setelah mendapat maklumat aktiviti perlombongan emas secara haram di kawasan tersebut.

“Pemeriksaan mendapati kegiatan perlombongan terbabit dilakukan seorang lelaki berusia 57 tahun.

“Suspek gagal mengemukakan lesen perlombongan yang sah,” katanya di sini hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, serbuan turut merampas peralatan dan mesin jentera yang digunakan untuk melombong emas terbabit bernilai kira-kira RM 1.89 juta.

Beliau berkata, barang rampasan dan suspek telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Terengganu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Akta Enakmen Mineral Terengganu 2002 iaitu melombong tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pensyarah ‘ratah’ pelajar ditahan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Seorang pensyarah di sebuah institut kemahiran di daerah ini ditahan bagi membantu siasatan memperkosa pelajar perempuannya pada akhir tahun lalu.

Lelaki berusia 38 tahun tersebut diberkas di sekitar daerah ini pada pukul 12.15 tengah malam tadi.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, penahanan itu dibuat berdasarkan laporan polis dibuat mangsa pada pukul 3.38 petang, semalam.

“Remaja perempuan berusia 18 tahun berkenaan mendakwa dirogol oleh tenaga pengajarnya pada tahun lalu.

“Suspek telah ditahan pada tengah malam tadi. Beberapa barangan termasuk sebuah kereta turut dirampas bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Razi berkata, suspek telah ditahan reman selama enam hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan kes rogol berkenaan.

Beliau berkata, perintah reman itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin di Mahkamah Majistret di sini semalam.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Siasatan terperinci sedang dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, March 18, 2025

Nelayan maut, isteri cedera parah dirempuh Proton Wira

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang nelayan maut, manakala dua yang lain termasuk isterinya cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 48, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Kampung Selamat di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 2.45 petang itu, mangsa, Kamaruddin Jusoh, 53, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

-Advertisement-

Isteri mangsa, Zizah@Rozita Jusoh, 48, dan pemandu kereta Proton Wira, Muhammad Izzat Afzan Efendy, 20, pula mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, Kamaruddin dan isterinya, Zizah dikatakan dalam perjalanan ke Wakaf Tapai, Marang dari rumah mereka di Kampung Jelapang di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira dinaiki suami isteri itu dikatakan dirempuh sebuah kereta Proton Wira lain yang dipandu seorang pengawal keselamatan (Muhammad Izzat Afzan).

“Kereta dipandu pengawal keselamatan terbabit dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, mayat Kamaruddin dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, Zizah dan Muhammad Izzat Afzan yang cedera parah pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan.

“Kes disiasat mengikut Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pembakaran terbuka cuaca panas, JBPM tumpu utara, Sarawak

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memberi tumpuan terhadap negeri-negeri utara dan Pantai Barat Sarawak bagi menghadapi kemungkinan pembakaran terbuka pada musim panas berikutan peralihan monsun Barat Daya tidak lama lagi.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, berdasarkan ramalan cuaca bagi tiga bulan akan datang, kedua-dua kawasan tersebut dijangka akan merekodkan cuaca panas berpanjangan dengan taburan hujan rendah pada pertengahan tahun ini.

-Advertisement-

“Negeri-negeri utara dan Pantai Barat Sarawak dijangka merekodkan kurang hujan pada bulan Jun depan.

“Selain itu, kita juga akan memberikan tumpuan terhadap 652 titik panas berisiko seluruh negara yang telah dikenalpasti,” katanya di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas menyaksikan majlis Perbarisan Kursus Sijil Sains Kebombaan Gred KB 1 Siri 2/2024 melibatkan 207 pelatih.

Nor Hisham berkata, titik panas terbabit telah dikenalpasti berdasarkan rekod tiga tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, ia membabitkan 413 kawasan belukar, pinggir hutan (142) dan pusat pelupusan sampah haram terbuka (50).

“Begitupun kita menjangkakan cuaca pada tahun ini tidak akan sepanas pada tahun lalu dan 2021,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Mat gian disyaki punca 106 hektar hutan Cenderawasih terbakar

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Kebakaran hutan di Cenderawasih, Pekan, Pahang sejak 3 Mac lalu yang setakat ini telah memusnahkan 106 hektar disyaki berpunca daripada perbuatan nakal sekumpulan individu disyaki penagih dadah.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, siasatan awal mendapati kebakaran tersebut bermula dari salah satu kawasan hutan terbabit yang menjadi lokasi berkumpul golongan terbabit.

-Advertisement-

“Saya yakin ini (kebakaran disebabkan) perbuatan manusia. Mula-mula syak (berpunca daripada) pengusaha kebun nanas (berhampiran).

“Begitupun selepas menjejak plot pergerakan kebakaran, ia didapati bermula dari tempat perkumpulan aktiviti tidak sihat (penagihan dadah),” katanya di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai di sini hari ini.

Kebakaran yang berlaku di Cenderawasih hampir dua minggu lalu itu bukan sahaja menjejaskan kawasan hutan malah kebun nanas milik penduduk tempatan.

Sebelum ini, kawasan ladang kelapa seluas 76 hektar di Jalan Pintasan Kuantan-Sg Ular berhampiran Gebeng, Kuantan, Pahang juga terbakar sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada minggu lalu.

Dalam perkembangan sama, Nor Hisham berkata, salah satu daripada dua sektor dalam kawasan hutan di Cenderawasih terbabit yang terbakar telah berjaya dipadamkan pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, tumpuan kini untuk memadamkan sepenuhnya satu lagi sektor yang masih terbakar. – KOSMO! ONLINE

Lagi penjenayah mati ditembak, kali ini di Besut

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tidak sampai 72 jam selepas tiga penjenayah ditembak di Sepang, Selangor, seorang lagi penjenayah ditembak mati polis di Jalan Seberang Jertih, Kuala Besut dekat sini semalam.

Lelaki berusia 31 tahun yang diburu sejak dua tahun lalu kerana disyaki pengedar dadah ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan sepasukan anggota polis di lokasi kejadian pada pukul 2.20 pagi.

-Advertisement-

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, kenderaan pacuan empat roda, Ford Ranger dinaiki suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Seberang Jertih berhampiran Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, Besut.

“Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang sedang melaksanakan Op Laras menahan kenderaan suspek bagi tujuan melakukan pemeriksaan.

“Begitupun suspek secara tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan sebelum dibalas demi keselamatan oleh anggota polis terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini.

Mohd. Khairi berkata, pemeriksaan kemudiannya mendapati suspek yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan maut akibat terkena tembakan.

Beliau berkata, pemeriksaan pada kenderaan jenis Ford Rangers dinaiki suspek menjumpai sepucuk pistol berwarna perak bersama magazine dan sebilah parang.

“Dua bungkusan disyaki mengandungi dadah jenis pil kuda dan syabu juga turut ditemui dalam kenderaan itu.

“Semakan awal mendapati suspek memiliki tujuh rekod jenayah atas kesalahan menyeludup senjata api, samun dan penyalahgunaan dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Warga emas ramai terjebak pelaburan kripto palsu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kes penipuan pelaburan tidak wujud membabitkan skim mata wang digital, kripto kian membimbangkan melibatkan kerugian mencecah puluhan juta ringgit sejak akhir-akhir ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebahagian besar kerugian keseluruhan lebih RM123.64 juta disebabkan penipuan pelaburan tidak wujud sejak awal tahun ini melibatkan pelaburan mata wang kripto palsu terbabit.

“Kita sendiri tidak tahu mata wang kripto. Mudah-mudah kita memberi duit berjuta kepada sindiket untuk melabur bagi pihak kita padahal (ia sebenarnya) tidak dilaburkan.

“Mata wang kripto dipapar pada skrin berlipat ganda keuntungan. Labur RM4 juta, boleh dapat RM126 juta, langsung tidak masuk akal tetapi ada yang percaya,” katanya selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini hari ini.

Ramli berkata, tambah membimbangkan sebahagian mangsa pelaburan mata wang kripto tidak wujud ini merupakan golongan pesara yang kerugian jutaan ringgit.

Beliau berkata, salah satu kes penipuan mata wang kripto tidak wujud pernah diterima melibatkan seorang warga emas berusia 74 tahun di Johor yang kerugian puluhan juta.

“Warga emas jangan terlampu teruja melabur dalam mata wang kripto. Kadang-kadang kita guna simpanan dan meminjam kerana tertarik kononnya mendatangkan keuntungan banyak.

“Semua ini penipuan, ia bukan sahaja menyebabkan kerugian malah menyebabkan kecelaruan mental mangsa warga emas terbabit sepanjang baki hayatnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE