Translate

Saturday, May 9, 2015

‘Khabar Indonesia’ kerjasama Kosmo!, ANTARA dan YIRMI

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Akhbar Kosmo! terus melakar sejarah tersendiri apabila menerbitkan ruangan khas ‘Khabar Indonesia’ yang dilancarkan oleh Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno di ibu pejabat Kosmo!, Bangunan Utusan Melayu di sini semalam.
Disiarkan secara rasmi bermula hari ini, ruangan ‘Khabar Indonesia’ merupakan pencetus baharu terhadap jalinan kerjasama dan komunikasi di antara Malaysia dan Indonesia.
‘Khabar Indonesia’ disiarkan melalui program pertukaran berita dan rencana dengan agensi berita nasional Indonesia, Lembaga Kantor Berita Nasional ANTARA yang disiarkan khusus dalam Kosmo! untuk pembaca di Malaysia.
Ruangan khas sebanyak dua muka surat itu bakal mengubat kerinduan warga Indonesia pada setiap Jumaat menerusi paparan berita, rencana dan isu terkini serta menarik mengenai perkembangan yang berlaku di negara tersebut.
Bahan-bahan yang akan disiarkan dalam halaman khas Kosmo! itu merupakan himpunan rencana tulisan wartawan ANTARA dari pelbagai wilayah di Indonesia dengan memberi tumpuan kepada aspek pelancongan, budaya dan isu-isu yang menarik minat ramai.
“Biarpun ruangan ini secara simboliknya hanya memaparkan dua halaman namun saya lihat usaha yang kecil ini sebenarnya membawa erti yang lebih besar dalam hubungan Malaysia dan Indonesia dalam konteks dan perspektif yang berbeza,” kata Pengarang Kos­mo!, Datuk Baharom Mahusin pada majlis pelancaran halaman ‘Khabar Indonesia’ semalam.
Majlis itu disempurnakan Rais dan Herman yang menyentuh butang khas sebagai simbolik pelancaran halaman ‘Khabar Indonesia'.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad, Direktur Utama ANTARA, Saiful Hadi, wakil-wakil daripada Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (YIRMI) dan Ikatan Setiawan Wartawan Malaysia-Indonesia dan persatuan-persatuan rakyat Indonesia yang berada di Indonesia.

Turut menyerikan majlis ialah persembahan daripada artis popular tanah air iaitu Misha Omar dan kumpulan 6ixt Sense selain tetamu turut berpeluang merakam gambar kenangan di studio Kosmo!.

Sementara itu, Saiful pula menyambut baik kerjasama yang terjalin antara ANTARA dan Kosmo! kerana rancangan tersebut sudah lama dipersetujui dan akhirnya berjaya direalisasikan.

"Wartawan kami berada di setiap daerah di Indonesia. Melalui kerjasama ini, Kosmo! mendapat akses kepada berita-berita eksklusif yang dilaporkan oleh wartawan ANTARA setiap hari.

"Selain berkongsi maklumat berita, pihak juga akan mendapat akses serta maklumat yang sama daripada Kosmo!,," katanya.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman pula memuji langkah yang diambil Kosmo! dalam usaha merapatkan hubungan komunikasi dan diplomatik di antara kedua-dua negara.

"Hubungan diplomatik tidak sekadar cukup dengan seorang perantara sahaja (duta), sebaliknya ia memerlukan peranan daripada pihak kedua iaitu media," katanya.

No comments:

Post a Comment