Translate

Wednesday, February 22, 2012

200 penduduk berpindah

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH – Lebih 200 penduduk dari 55 buah keluarga di Gugusan Manjoi, Taman Lim dan Buntong di sini terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara akibat kejadian banjir kilat berikutan hujan lebat sejak awal pagi semalam.

Kesemua mereka dipindahkan ekoran air di beberapa batang sungai antaranya Sungai Pari dan Sungai Tapah melimpahi tebing.

Kesemua mangsa ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Tengku Hussein dan Dewan Orang Ramai Kampung Manjoi di sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, berkata, banjir yang terburuk di kawasan berkenaan sejak 2007 itu disebabkan hujan lebat luar biasa selama tujuh jam bermula pukul 2 pagi.

“Paras tiga sungai berdekatan iaitu Sungai Tapah, Sungai Pinji dan Sungai Pari telah meningkat mendadak akibat kuantiti air hujan yang banyak tersebut.

“Limpahan air sungai berkenaan kemudiannya telah membanjiri kawasan perumahan berkenaan sehingga 0.9 meter,” katanya selepas meninjau keadaan banjir di Kampung Manjoi di sini semalam.

 Zambry memberitahu, dua pusat pemindahan telah dibuka iaitu di Kompleks Serbaguna  Manjoi  dan Dewan Orang Ramai Buntong

"Semua agensi kerajaan termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah dikerahkan untuk membantu mangsa  banjir ," katanya.

No comments:

Post a Comment