Translate

Thursday, June 25, 2009

Tanah kurnia terbiar ditarik balik

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kecewa dengan lambakan tanah terbiar di rancangan penempatan tersusun (RPT) di bandar raya ini, Majlis Bandaraya Ipoh mencadangkan kerajaan negeri Perak supaya menarik balik statusnya.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, pihaknya mendapati terdapat ribuan tanah kurnia terbiar dan bersemak-samun di seluruh bandar raya ini termasuk kira-kira 200 lot di Kampung Tersusun Sengat, Simpang Pulai di sini.

"Sepatutnya tanah kurnia terbabit didirikan rumah seperti pemberian tanah RPT tetapi banyak yang ditinggalkan tanpa selenggara selama bertahun-tahun, malah ada yang sampai 10 tahun.

"MBI banyak dapat aduan tanah yang tidak terurus dan bersemak-samun itu memberi masalah kepada penduduk setempat. Selain merosakkan pemandangan, ia menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes dan haiwan berbisa seperti ular, kala jengking dan lipan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat dengan penduduk Kampung Tersusun Sengat yang turut dihadiri Ketua Kampungnya, Buyung Silin, 72, di sini semalam.

Roshidi berkata, sikap lepas tangan pemilik tanah terbiar juga menyebabkan MBI kerap kali terpaksa menanggung beban mengambil tanggungjawab membersihkan kawasan terbabit.

Beliau berkata, langkah tersebut sebenarnya merugikan kerana peruntukan mengupah kontraktor membersihkan tanah tersebut merupakan hasil cukai taksiran orang awam.

"Nak dapat balik kos selenggara tanah terbiar itu dari pemilik memang susah. Ia tidak adil untuk penduduk Ipoh lain, MBI boleh keluarkan kompaun RM250 tapi ia kurang berkesan.

"Sehubungan itu saya cadangkan kerajaan negeri tarik balik status tanah terbabit dan beri kepada individu yang lebih memerlukan serta bertanggungjawab," katanya.

Thursday, June 18, 2009

Stadium Manjoi kini jadi gelanggang futsal

IPOH - Stadium Mini Manjoi di sini yang telah siap kira-kira tiga tahun lalu tidak dapat digunakan gara-gara saiznya tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, padang bola sepak di Stadium Mini yang dirasmikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2007 itu didapati tidak mengikut ukuran sebenar ditetapkan.

"Berikutan masalah itu, stadium mini ini tidak boleh digunakan kerana perlawanan bola sepak formal dan kompetitif tidak dibenarkan diadakan di sini.

"Sebagai jalan penyelesaiannya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membuat keputusan untuk membina dua gelanggang futsal dengan peruntukan kira-kira RM300,000 di tapak padang bola terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat membincangkan masalah berbangkit di Gugusan Manjoi yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail di sini semalam.

Roshidi berharap pembinaan gelanggang futsal tersebut dalam masa terdekat dapat ‘menghidupkan’ semula Stadium Mini Manjoi seluas 0.81 hektar itu daripada terus menjadi projek gajah putih.

Wednesday, June 17, 2009

Projek Seri Iskandar wujud - Saksi

IPOH - Mahkamah Sesyen di sini diberitahu projek pembangunan tanah seluas 36.45 hektar di Seri Iskandar wujud dan pernah dibincangkan pada Mesyuarat Penuh Bulanan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT).

Saksi ketiga pendakwa, Setiausaha MDPT, Borhan Abdul Halim berkata, dua tertuduh iaitu Usaili Alias dan Zul Hassan yang merupakan bekas ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut menghadiri mesyuarat penuh bulanan ketika cadangan projek itu dibincangkan pada 29 Julai 2008.

"Minit mesyuarat merekodkan Sino Land Development Sdn. Bhd. yang berminat membangunkan projek itu telah memberikan maklumat diperlukan.

"Namun pada ketika itu projek itu masih di peringkat cadangan dan sehingga kini ia belum diluluskan,"kata beliau.

Borhan berkata demikian dalam perbicaraan hari kedua berhubung kes rasuah berkaitan projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar membabitkan dua bekas Exco, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering dan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi, Usaili, Zul dan dua yang lain.

Beliau yang berkhidmat sebagai Setiausaha MDPT sejak April 2008 memberitahu, pada ketika itu Usaili juga berperanan sebagai Ahli Jawatan Kuasa Projek Penswastaan dan Usahasama, Lembaga Tender dan Sebut Harga serta Lembaga Lantikan, Tata Tertib dan Kenaikan Pangkat PBT berkenaan.

Sementara itu Zul pula diberi amanah oleh MDPT sebagai Ahli Jawatan Kuasa Pelesenan, Kebersihan, Keindahan Bandar dan Infrastruktur, Lalu Lintas dan Pembangunan.

"Saya telah menyerahkan salinan pelan pembangunan tanah berkenaan kepada Usaili setelah diminta tertuduh," katanya yang turut memberitahu tidak mempunyai bukti menyokong keterangannya itu.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menangguhkan perbicaraan pada 28 dan 29 September depan selepas Borhan selesai memberikan keterangannya.