Translate

Wednesday, December 22, 2010

Cuai, bas rosak punca nahas

IPOH - Polis menolak dakwaan permukaan jalan licin atau ada tompokan minyak menjadi punca kemalangan terburuk yang meragut 27 nyawa mangsa yang menaiki sebuah bas ekspres dua tingkat yang terbalik di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, hasil siasatan mendapati, keadaan jalan di sekitar lokasi berlaku kemalangan itu baik, kering dan tiada tompokan minyak.

"Anggota bomba dan polis yang sampai awal ke tempat kejadian selepas mengetahui nahas itu mendapati permukaan jalan kering.

"Jadi siasatan awal punca nahas berkemungkinan berpunca daripada kecuaian pemandu atau berlaku kerosakan mekanikal pada bas itu," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.

Bagaimanapun, menurut beliau, siasatan lanjut mengenai punca sebenar tragedi itu akan diserahkan kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd. (Puspakom).

Kata Zakaria, polis sedang menyiasat dakwaan bahawa pemandu pelancong, Soontorn a/l Kian, 38, yang turut terbunuh dalam tragedi itu adalah pemandu kedua bas tersebut.

"Jika benar Soontorn pemandu kedua, kita kena semak kelayakannya sebagai pemandu bas ," ujar beliau.

Sebelum itu, waris Omar Shahidan, 48, Aswadi Baharuddin, 31, mendakwa pemandu bas persiaran yang terbunuh itu didakwa pernah meluahkan kebimbangannya mengenai keadaan jalan raya di lokasi kemalangan.

Aswadi mendakwa, Omar merungut jalan raya di kawasan kemalangan tersebut licin seperti ada tumpahan minyak sehingga bas yang dipandunya pernah hampir terbabas beberapa kali sebelum ini.

"Omar sudah lebih 10 tahun menjadi pemandu bas dan sudah kerap kali membawa pelancong ke Cameron Highlands dan Genting Highlands.

"Mustahil arwah tidak mengetahui keadaan jalan berselekoh di situ kerana ini bukan kali pertama dia memandu bas ke kawasan peranginan itu," dakwanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini lewat malam kelmarin.

No comments:

Post a Comment