Translate

Friday, February 6, 2009

Saya masih MB - Nizar

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Biarpun mendapat arahan istana supaya meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin masih berdegil untuk melepaskan jawatan Menteri Besar Perak.

Beliau berkeras akan terus menjalankan tugas ketua eksekutif negeri sementara rayuannya didengar oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Pada sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini petang semalam, Mohammad Nizar menafikan beliau menolak titah Sultan atau ingkar terhadap janjinya kelmarin untuk mematuhi apa juga keputusan baginda.

"Saya bukan ingkar atau tolak titah Sultan, cuma saya merayu Sultan (agar) mengikut ketetapan dalam Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

"Saya dengan rendah hati mohon derhaka dengan berkata kepada baginda 'patik sebagai MB dan pemimpin kerajaan, mohon tidak letak jawatan','' katanya pada sidang akhbar itu.

Hadir sama ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan berkuat-kuasa serta-merta.

Dalam sejarah politik negara, hanya seorang Menteri Besar dan seorang Ketua Menteri yang enggan meletak jawatan apabila diarahkan oleh Sultan dan Yang Dipertua Negeri.

Yang pertama, Stephen Kalong Ningkan yang menjadi Ketua Menteri pertama Sarawak antara Julai 1963 dan September 1966 manakala kes kedua membabitkan Datuk Mohamed Nasir pada 1977 yang tidak memperdulikan usaha untuk menyingkirkan beliau daripada jawatan Menteri Besar Kelantan kerana melanggar arahan parti.

Mohammad Nizar berkata, tindakan itu wajar atas andaian Barisan Nasional (BN) tiada majoriti memandangkan jumlah kerusi BN sebanyak 28 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sama dengan kerusi Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti Pas, PKR dan DAP.

"Speaker DUN Perak pula telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi memohon pengisytiharan kerusi DUN Jelapang, Behrang dan Changkat Jering dikosongkan...kami rayu segala keputusan dibuat turut mengambil kira keputusan mahkamah," katanya.

Sementara itu, kesemua 28 ADUN Pakatan Rakyat Perak akan memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar hari ini.

Mohammad Nizar berkata, keputusan itu dibuat selepas mereka bermesyuarat petang semalam dengan alasan beliau masih Menteri Besar yang sah.

No comments:

Post a Comment