Translate

Monday, June 22, 2015

6,000 ahli parti hadir untuk beri sokongan kepada Subramaniam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Seramai 6,000 ahli MIC dari seluruh negara termasuk bekas Presiden, Datuk Seri S. Samy Vellu hadir untuk memberi sokongan kepada Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri S. Subramaniam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat mendakwa kumpulan yang diketuainya itu mewakili MIC kerana beliau mendapat sokongan daripada sayap Pemuda, Wanita, Puteri dan Putera selain 2,758 ketua cawangan dan 95 cawangan parti di seluruh negara.

"Saya juga mendapat sokongan padu daripada dua Timbalan Menteri dari parti iaitu Datuk M. Saravanan dan Datuk P. Kamalanathan, seorang Exco kerajaan negeri, dua Ahli Dewan Undangan Negeri dan seorang Speaker Dewan Undangan Negeri," katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Khas MIC di PWTC.

Beliau menyatakan demikian berhubung krisis kepimpinan MIC selepas Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel mengantung 15 pemimpin termasuk dirinya dan Saravanan selama setahun berkuat kuasa 16 Jun lalu kerana mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Keraja Pusat (CWC) Sementara secara haram.

Namun beberapa jam selepas keputusan itu dibuat, Subramaniam pula mengumumkan beliau sebagai Pemangku Presiden kerana keahlian Palanivel telah digugurkan secara automatik mengikut perlembagaan parti kerana membawa kes MIC ke mahkamah tanpa mendapat persetujuan ahli CWC.

Subramaniam turut akur dengan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Rzak agar parti itu mematuhi keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) agar pemilihan semula tiga jawatan Naib Presiden dan 23 anggota CWC diadakan.

Dalam pada itu, Samy Vellu yang ditemui berkata, walaupun tidak berniat untuk campur tangan dalam pemilihan parti namun beliau berpuas hati dengan perjelasan Subramaniam berhubung krisis dalaman MIC itu.

"Tentang kepimpinan parti, saya tak nak komen. Biarlah proses pemilihan berjalan," katanya.

No comments:

Post a Comment