Translate

Wednesday, August 17, 2011

Pengawal dituduh bunuh Dr. Rohani

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kes pembunuhan Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim pada 3 Ogos lalu semakin menemui nokhtahnya apabila seorang pengawal keselamatan yang juga jiran wanita itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan itu semalam.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Syahmie Hassan , 20, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Akmal Mustafa Kamal.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu, Syahmie didakwa melakukan pembunuhan bermotifkan samun itu di rumah mangsa di Apartmen Permai Lakeview, Tambun dekat sini antara pukul 6 petang dan 7.30 malam. Sabit kesalahan dia boleh dihukum mati mandatori.

Sementara itu di mahkamah yang sama, rakan serumah Syahmie , Nuurhisyam Shukor, 22, didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan barang kemas milik Rohani. Sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda.

Mengikut pertuduhan, Nuurhisyam yang juga anggota tentera yang lari daripada tugas dituduh menjual seutas gelang dan rantai milik Rohani bernilai RM6,000 di sebuah kedai jam di Jalan Besar, Tanjung Malim di antara pukul 3 dan 6 petang pada 4 Ogos lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nor Abdurrahman.

Nurul Akmal membenarkan Nuurhisyam dijamin sebanyak RM6,000 manakala Syahmie tidak ditawarkan ikat jamin dan menetapkan 17 Oktober untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, kakak Rohani, Ruzaina, 41, memberitahu, tindakan mendakwa tertuduh memberi sedikit kelegaan kepada keluarganya yang sebelum ini agak tertekan dengan kejadian tersebut.

Selain itu, Ruzaina turut bersyukur kerana keadilan untuk adiknya telah bermula.

"Alhamdulillah, kami yakin sistem kehakiman negara mampu mengadili sama ada mereka bersalah ataupun tidak.

"Sehingga kini, ibu, Sharifah Razali, 72, dan ayah, Kasim Idris, 75, masih bersedih serta terkejut dengan kejadian itu biarpun ia telah tiga minggu berlaku," ceritanya.

Kosmo! 6 Ogos lalu melaporkan Rohani yang masih bujang mati dibunuh dengan mayatnya ditemui dibalut dengan selimut tebal di atas tangga di tingkat dua Blok F apartmen tersebut oleh seorang pengawal keselamatan dan beberapa penghuni di situ.

Ekoran itu, polis menahan empat lelaki berusia di antara 20 dan 26 tahun bagi membantu siasatan sebelum dua daripada mereka dibebaskan.

No comments:

Post a Comment