Translate

Sunday, January 25, 2009

Kongkang disangka panda

BATU KURAU - Penduduk Kampung Bukit Bertam di sini gempar kelmarin setelah menemui seekor haiwan yang disangka beruang panda.

Bagaimanapun, setelah dibawa pulang dan diperhatikan betul-betul, mereka mendapati haiwan yang ditemui itu rupa-rupanya seekor kongkang, iaitu spesies monyet yang semakin pupus.

Seorang penduduk yang menemui haiwan tersebut, Abdul Aziz Madari, 43, berkata, haiwan itu muncul dari rimbunan buluh berdekatan dalam keadaan lemah.

"Saya ingatkan ia beruang panda tetapi memandangkan keadaannya yang lemah, saya bawa pulang dan berinya makan pisang.

"Kebanyakan jiran terdekat yang mengerumuni haiwan berkenaan pada mulanya ingat ia adalah salah satu spesies beruang panda," katanya.

Kongkang atau nama saintifiknya Nycticebus Coucang merupakan spesies monyet yang dilindungi dan memerlukan lesen untuk diburu.

Saturday, January 24, 2009

Dialog menambah baik perkhidmatan polis

RESPONSIF. Lebih 300 penduduk termasuk pemimpin ma syarakat sekitar Bidor menghadiri Majlis Dialog bersama Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah di Balai Polis Bidor kelmarin.

Dalam sesi dialog selama tiga jam bermula pukul 10 pagi itu, pelbagai pandangan dan cadangan untuk menambah baik perkhidmatan polis telah diterima daripada penduduk pekan terbabit.

Rata-rata mereka puas hati dengan perkhidmatan polis yang bukan sahaja berkesan mengurangkan kadar jenayah, malah mesra dengan masyarakat setempat.

Begitupun, ramai yang meminta bilangan anggota polis di Balai Polis Bidor yang kini berjumlah 31 orang ditambah dalam masa terdekat bagi memenuhi keperluan lebih 76,000 penduduk di pekan itu.

Selain itu penduduk juga berkongsi kegembiraan apabila balai polis berkenaan dinobatkan Balai Polis Contoh Perak 2008 dengan penyerahan plak penghargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Skim Kejiranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bidor, Wong Ng.

Thursday, January 22, 2009

Toyota serah sumbangan

AMAL. Seramai 80 kanak-kanak istimewa dari Pusat Harian Kanak-Kanak Spastik (PHKS), Jalan Bendahara, Ipoh ceria menerima sumbangan daripada firma permotoran tempatan, UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. semalam.

Sumbangan RM36,900 itu disampaikan oleh Pengarah Eksekutif UMW Toyota Motor, Aminar Rashid Salleh kepada Pengerusi PHKS, Hasmah Hamzah.

Hasmah berkata, sumbangan berkenaan amat dihargai kerana pihaknya memerlukan dana bagi membina dewan belajar dan membesarkan lagi pusat latihan dan kemahiran golongan orang kurang upaya.