Translate

Sunday, March 1, 2026

PN tidak mahu gopoh tentu kedudukan Ketua Pembangkang

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Perikatan Nasional (PN) tidak mahu gopoh untuk menamakan Ketua Pembangkang baharu sebagai alternatif kepada Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, setakat ini, Hamzah kekal Ketua Pembangkang sehingga berakhirnya persidangan Parlimen kali ini yang masih berbaki dua hari.

Beliau berkata, keputusan kedudukan Ketua Pembangkang akan dibincang bersama kepimpinan PN dengan mengambil kira perhitungan politik semasa termasuk hala tuju Hamzah dan 18 ahli parlimen lain yang dikatakan menyokong bekas Timbalan Presiden Bersatu tersebut.

AdChoices

“Saya tidak buat keputusan sendiri (pemilihan Ketua Pembangkang). Kena mesyuarat dengan pimpinan parti (PN), tanya ahli-ahli parlimen.

“(Persidangan) Parlimen tinggal dua hari lagi. Selesaikan masalah rakyat dulu, (keputusan kedudukan) Ketua Pembangkang kita tangguh,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Rusila di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi mengakui telah meminta kepimpinan Bersatu diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin agar memberi peluang kepada Ahli Parlimen Pas untuk menjadi Ketua Pembangkang.

Begitupun Ahli Parlimen Marang tersebut menegaskan kepimpinan Pas tidak akan bersikap diktator dalam pemilihan Ketua Pembangkang baharu.

“Memang ada minat (ambil alih Ketua Pembangkang) tetapi mesti ambil kira perhitungan politik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

LKIM lahir perintis tekong laut dalam

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berjaya melahirkan kumpulan perintis tekong laut dalam warga tempatan yang merupakan inisiatif kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap nelayan asing.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, seramai 30 nelayan dalam kalangan belia Terengganu berusia bawah 40 tahun berkenaan telah menjalani latihan selama enam bulan di Kuala Terengganu dan Dungun.

“Isu ketiadaan tekong laut dalam tempatan amat serius. Buat masa ini, kita bergantung hampir 100 peratus terhadap orang luar khususnya warga Thailand, Myanmar dan Vietnam.


“Sedangkan di laut dalam itulah banyak (sumber) yang buat masa ini diambil (secara haram) oleh nelayan-nelayan asing khasnya Vietnam,” katanya pada program Sentuhan AgroMadani di sini malam ini.

Mohamad berkata, sebelum ini rata-rata nelayan tempatan terutama bumiputera kurang berkelayakan untuk menjadi tekong laut dalam yang memerlukan kemahiran tinggi dan kesabaran untuk berada di perairan dalam tempoh panjang.

Beliau berkata, program latihan tekong laut dalam tempatan tersebut akan diperluas kepada nelayan-nelayan tempatan lain di seluruh negara selepas ini.

“Kita menyasar untuk melahirkan 100 tekong laut dalam tempatan baharu setiap tahun.

“Selepas kejayaan di Terengganu, program ini akan diperluas ke Pahang, Sarawak dan Selangor tidak lama lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Hub stok penimbal ikan Pantai Timur di Kuala Besut

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terus memperkasa rantaian pemasaran hasil laut di Pantai Timur dengan pembukaan Hub Pengumpulan, Pemprosesan, Penyimpanan dan Pengedaran Ikan (HPPPP) di Kuala Besut di sini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, HPPPP Pantai Timur yang mula beroperasi bulan lalu itu mampu menyimpan stok penimbal 300 tan metrik hasil laut pada satu-satu masa.

“HPPPP Pantai Timur ini merupakan fasiliti logistik bersepadu yang turut dilengkapi kemudahan bilik sejuk dingin berkapasiti 300 metrik tan untuk industri perikanan Pantai Timur melibatkan kos pembinaan RM5.81 juta.

“Insfrastruktur tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai pusat penyimpanan stok penimbal malah bertujuan memendekkan rantaian pemasaran hasil laut di Pantai Timur,” katanya selepas merasmikan HPPPP Pantai Timur di Kuala Besut hari ini.

Mohamad juga berharap HPPPP Pantai Timur tersebut dapat mengurangkan kebergantungan terhadap orang tengah sekaligus memastikan harga ikan terus stabil di pasaran.

Beliau berkata, HPPPP Pantai Timur membolehkan lambakan hasil laut dapat diuruskan dengan lebih sistematik.

“Ia sekali gus memastikan kesegaran ikan terjaga dan menjamin bekalan protein (ikan) negara sentiasa mencukupi terutamanya pada musim tengkujuh.

“Selain itu, kilang air batu Persatuan Nelayan Kebangsaan (PNK) Besut yang terletak berhampiran HPPPP Pantai Timur juga telah selesai dinaik taraf dengan pengeluaran 103 tan sehari,” katanya.- KOSMO! ONLINE