Translate

Monday, September 15, 2025

Insiden bot terbalik Merchang: Anak-anak terima manfaat Perkeso

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Inisiatif Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melakukan caruman Skim Lindung Kendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada nelayan memberi makna besar enam beradik yang kehilangan ibubapa akibat insiden bot terbalik di perairan Kuala Merchang di sini pada akhir bulan lalu.

Mereka termasuk tiga yang masih bergelar pelajar menerima manfaat faedah orang tanggungan (FOT) Skim Lindung Kendiri bagi membantu kelangsungan hidup selepas bergelar yatim piatu.

Pengarah Perkeso Terengganu, Suhara Mustaffa berkata, Nur Nadhirah Abdul Rahim, 26, juga layak menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM3,000.

“Semakan Perkeso mendapati bapa mereka, Abdul Rahim Mustaffa, 47, yang terkorban dalam tragedi tersebut bersama isterinya, Norhasriah Che Osman, 46, merupakan pencarum aktif tajaan LKIM.

“Tiga anak Allahyarham yang masih belajar iaitu Nur Nazirah, 15; Nur Najihah, 16; dan Muhammad Haziq, 19, akan menerima FOT berjumlah RM850 sebulan,” katanya ketika menyantuni rumah keluarga tersebut di Kampung Pulau Kerengga di sini hari ini.

Kosmo! 2 September lalu melaporkan Abdul Rahim yang merupakan nelayan tradisional maut bersama isterinya, Norhasriah setelah bot fiber dinaiki mereka terbalik sewaktu sedang menangkap ikan di perairan Kuala Merchang.

Suhara berkata, tiga beradik tersebut akan menerima FOT skim terbabit sehingga berusia 21 tahun atau sehingga menamatkan pengajian pada peringkat ijazah pertama manakala
Nur Nazirah dan Nur Najihah juga akan diambil menjadi sebahagian anak angkat Perkeso Terengganu.

Sementara itu, Nur Nabilah, 23, yang merupakan anak ketiga pasangan terbabit berkata, mereka adik-beradik kadang-kala sayu terkenangkan kelunakan suara ibu membaca al-Quran setiap kali maghrib. – KOSMO! ONLINE

Sunday, September 14, 2025

Piala FA: TFC bangkit mara ke suku akhir

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) bangkit menewaskan Imigresen FC 3-0, sekali gus mara ke ke suku akhir Piala FA dengan agregat 4-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, sebentar tadi.

Tuan rumah yang ketinggalan 1-2 pada aksi pertama pusingan awal yang berlangsung pada 17 Ogos lalu menggempur gawang Imigresen sejak minit pertama.

Skuad Sang Penyu hampir di depan seawal 27 saat namun tandukan pemain import, Raianderson Da Costa Morais atau Careca tersasar ke kiri gawang lawan.

Penjaga gol Imigresen, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin pula berjaya menepis percubaan pemain sayap import, Gabriel Silva Costa pada minit ke-2.

TFC akhirnya berjaya memecah kebuntuan sekali gus menyamakan agregat 2-2 menerusi jaringan penyerang import, Junior Stephen Ngong pada minit ke-17.

Kedudukan terus dilebarkan kepada 2-0 selepas pemain sayap sensasi skuad Sang Penyu, Akhyar Rashid berjaya meledak jaringan pada minit ke-31.

Akhyar terus cemerlang menjaringan gol ketiga TFC menerusi rembatan deras menewaskan Muhammad Zarif Irfan pada minit ke-51.

Peluang terbaik Imigresen tiba pada minit ke-20 namun percubaan pertahanan import, Keron Ornchaiyaphun tepat ke dakapan penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin. – KOSMO! ONLINE

Wanita maut, motosikal rempuh kerbau di laluan gelap

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita maut setelah motosikal yang dia tunggang merempuh seekor kerbau di Kampung Alor Parit, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 3.10 pagi itu, mangsa, Siti Nur Zainatul Akmal Hanim Muhammad Hanipah, 20, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang rumahnya di Kampung Undang, Marang dari pusat bandar raya ini.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda Beat yang dinaiki mangsa gagal mengelak lalu merempuh seekor kerbau yang berada di tengah jalan.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak ke jalan raya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, Siti Nur Zainatul Akmal Hanim dipercayai tidak perasan kehadiran haiwan terbabit kerana laluan berkenaan gelap tanpa dilengkapi kemudahan lampu jalan.

Beliau berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan wanita tersebut sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Mudir direman lagi bantu siasatan amang seksual fizikal pelajar tahfiz


 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang mudir sebuah pondok di Tumpat, Kelantan ditahan sekali lagi semalam bagi membantu siasatan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz di Batu Rakit, Kuala Nerus di sini pada tujuh bulan lalu.

Lelaki berusia 46 tahun yang dikenali sebagai Abuya tersebut ditahan di pekarangan sebuah madrasah di Wakaf Bharu, Tumpat pada pukul 7.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, siasatan awal mengesyaki suspek melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.

Beliau berkata, perbuatan tersebut disyaki berlaku di dalam sebuah pondok di Batu Rakit, Kuala Nerus pada pukul 9 malam, Februari lalu.

“Semakan mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes seksual luar tabii dan penganiayaan terhadap kanak-kanak.

“Dia telah direman selama lima hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 14(a) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Kosmo! 12 September lalu melaporkan lelaki sama telah dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Pasir Pas atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki dan memiliki gambar lucah pada Jun 2024 hingga 20 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE