Oleh MOHD AZLI ADLAN
HUJUNG bulan lalu berlaku tragedi bot terbalik yang mengorbankan tiga pelancong, manakala seorang lagi kritikal di Pulau Perhentian, Besut.
Siapa sangka keseronokan bercuti beramai-ramai di pulau peranginan terkenal Terengganu tersebut berakhir duka apabila bot dinaiki 15 penumpang tersebut tiba-tiba dilanda badai ribut yang melanda perairan Pulau Perhentian Besar.
Insiden melibatkan pelancong dari Butterworth, Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah berkenaan bukan lah satu-satunya kemalangan air yang berlaku di perairan Terengganu sepanjang bulan lalu.
Selain itu, dua nelayan hilang masing-masing di perairan Pulau Bidong, Kuala Nerus dan Kuala Kemaman selain seorang tekong cedera apabila bot mencandat sotong dinaiki tibat-tiba disambar petir di perairan Besut.
Walaupun kebanyakan insiden itu berlaku sewaktu fenomena ribut barat membadai perairan Terengganu baru-baru ini, risiko kemalangan jiwa sebenarnya boleh diminimumkan sekiranya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa dipatuhi sepenuhnya.
Berdasarkan statistik dikeluarkan Maritim Malaysia (APMM), sebanyak 80 peratus kematian akibat kemalangan di air termasuk laut disebabkan ketidakpatuhan memakai peralatan keselamatan khususnya jaket keselamatan.
Pengarah Maritim Terengganu, Hamiludin Che Awang berkata, siasatan awal insiden di Pulau Perhentian tersebut mendapati berlaku beberapa pelanggaran SOP ditetapkan.
Beliau berkata, bot tersebut membawa lebih penumpang iaitu 15 orang berbanding cuma 10 orang dibenarkan.
"Insiden berlaku pada pukul 10.30 malam iaitu di luar waktu operasi ditetapkan iaitu sehingga pukul 6 petang.
"Pemakaian jaket keselamatan dalam kalangan penumpang juga diabaikan sewaktu kejadian," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Hamiludin berkata, tambah malang, pemandu bot terbabit juga disyaki di bawah pengaruh dadah sewaktu kejadian dan dia sudah dihadapkan ke mahkamah pada Khamis lalu.
Sehubungan itu, beliau berharap empat insiden berlaku di perairan Terengganu sejak akhir-akhir ini menjadi iktibar tentang pentingnya aspek keselamatan di laut.
"Pelancong jangan terlalu seronok sehingga leka dan mengabaikan aspek keselamatan diri sewaktu menaiki bot serta melakukan aktiviti air di laut.
"Patuhi setiap arahan keselamatan. Sekiranya pengusaha bot melanggar SOP, jangan berkompromi. Jangan naik (bot) dan laporkan segera kepada pihak berkuasa," katanya.
Hamiludin berkata, pengusaha bot dan penumpang juga harus menjadikan amalan memeriksa ramalan cuaca sebelum memulakan perjalanan.
Beliau berkata, APMM akan meningkatkan rondaan di perairan Terengganu bagi memastikan semua peraturan dipatuhi pemain industri pelanconagan dan komersial.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, pasukan khas telah ditubuhkan bagi memantau 628 bot pelancong yang beroperasi di semua rangkaian pulau peranginan di negeri ini berikutan insiden berkenaan.
Beliau berkata, pasukan khas dianggotai pelbagai agensi terbabit berperanan memastikan kesemua pengusaha bot mematuhi peraturan ditetapkan.
"Kita tidak mahu lagi kes bot terbalik sehingga meragut nyawa di Pulau Perhentian berulang. Ia bukan sahaja boleh menjejaskan imej pelancongan Terengganu, malah mengancam nyawa pengunjung.
"Sebarang pelanggaran dalam kalangan pengusaha, kita akan syorkan Jabatan Laut terus tarik balik atau sekurang-kurangnya gantung lesen mereka," katanya.