Translate

Thursday, February 25, 2016

Juruwang tak naik gaji curi pakaian di kedai majikan

KUALA LUMPUR – Gara-gara terlalu geram tidak menerima kenaikan gaji malahan bayaran komisyen dikurangkan, seorang juruwang di sebuah kedai pakaian yang mencuri barang jualan majikan dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM300 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Muhamad Faizal Ismail memerintahkan demikian selepas Siti Harmoni Mohamed Noor, 25, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

“Adakah masalah (pendapatan) kamu selesai selepas me­lakukan perkara (mencuri) ini? Pertuduhan ini mewajibkan hukuman penjara dan boleh dikenakan denda sedangkan kamu masih mempunyai bayi yang masih menyusu badan.

“Jangan ulangi perkara sama pada masa depan dan fikir dahulu sebelum berbuat apa-apa,” kata Muhamad Faizal sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh di sini semalam.

Berdasarkan pertuduhan, Siti Harmoni didakwa mencuri barangan berupa dua pasang kasut jenama Pebbles, dua helai baju kemeja lengan panjang, sehelai kardigan dan sehelai baju panas yang bernilai keseluruhan RM267 di sebuah kedai pakaian yang terletak di tingkat satu, Midvalley Megamall di sini pada pukul 7 malam, 18 Februari lalu.

Mengikut fakta kes, perbuatan tertuduh yang memasukkan kesemua barangan tersebut ke dalam sebuah beg plastik sebelum menyerahkannya kepada seorang wanita tidak dikenali di kaunter juruwang premis ber­kenaan tanpa membuat bayaran dikesan menerusi televisyen litar tertutup oleh penyelia kedai pakaian tersebut.

Selepas disoal siasat, Siti Harmoni yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, Pantai Dalam di sini di­serahkan kepada anggota polis yang bertugas di pondok polis Midvalley Megamall pada 19 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Siti Harmoni yang telah dibuang kerja berikutan kejadian itu membayar denda tersebut.

No comments:

Post a Comment