Translate

Monday, March 23, 2015

Penjenayah Geng Kancil tumpas

KUALA SELANGOR - Sekumpulan kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai Geng Kancil dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah kenderaan dan samun di sekitar daerah ini berjaya ditumpaskan polis dengan penahanan enam anggotanya pada Ahad lalu.

Geng yang dianggotai sekumpulan lelaki berasal dari Bukit Rotan di sini itu disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya 11 kes pecah kenderaan dan samun sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd. Taib Ahmad berkata, modus operandi kumpulan jenayah terbabit ialah memecahkan cermin kenderaan yang diletakkan di lokasi sunyi sebelum melarikan barangan berharga milik mangsa.

"Mereka menyasarkan kenderaan milik pelanggan yang sedang menjamu selera di restoran atau tetamu majlis perkahwinan," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, bertindak daripada beberapa laporan polis, pasukan khas yang ditubuhkan pada mulanya menahan empat anggota kumpulan itu yang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil.

"Empat anggota kumpulan berkenaan yang sedang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil telah berjaya diberkas di persimpangan lampu isyarat di Batu 4, Jalan Kapar, Klang dekat sini pada pukul 5 petang, 15 Mac lalu," kata beliau.

Mohd. Taib berkata, siasatan lanjut kemudiannya membawa kepada penahanan dua lagi lelaki yang juga anggota Geng Kancil di sebuah pangsapuri di Jalan Sultan Mahmud di sini kira-kira dua jam kemudian.


"Pemeriksaan di dalam pangsapuri itu telah menjumpai beberapa barangan berharga seperti rantai leher, loket emas, telefon bimbit, pengecas bateri mudah alih, kad prabayar Tounch & Go , topi keledar, beg pemacu, jam tangan," katanya.

Katanya, keenam-enam suspek berusia 20 hingga 51 tahun direman selama 11 hari sehingga 25 Mac ini untuk disiasat berhubung kegiatan jenayah mereka.

No comments:

Post a Comment