Translate

Tuesday, August 6, 2013

Kuih pencuci mulut penyeri hidangan

TIDAK lengkap rasanya jika berbuka puasa tanpa menjamah kuih tradisional. Di Kedah, tepung bungkus pasti menjadi pilihan penduduk di sana sebagai juadah pemanis mulut.

Kuih tradisi yang dibalut menggunakan daun pisang itu disusun rapi di bazar Ramadan untuk dijual.

Peniaga tepung bungkus di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman, Tengku Marliena Tengku Fazali, 36, berkata, dia menjual sebanyak 300 tepung bungkus setiap hari.

Ia adalah 'air tangan' ibu mertuanya, Siti Hajar Abdullah, 54.

"Setiap hari, tepung bungkus ini habis dijual dan juadah ini dijadikan sebagai pemanis mulut ketika berbuka puasa," katanya ketika ditemui di Alor Setar, kelmarin.

Menurutnya, tidak sukar untuk membuat tepung bungkus, namun ia memerlukan kemahiran bagi menghasilkan kuih yang lazat.

"Ibu mertua saya memang pakar dalam membuat tepung bungkus kerana rasanya lemak manis dan kami mempunyai pelanggan tetap yang datang membeli setiap hari.

"Selain itu, tepung bungkus ibu mertua saya juga lebih tahan lama dan boleh dimakan ketika sahur jika disimpan di dalam peti sejuk," ujarnya.

Kata Tengku Marliena, antara bahan yang diperlukan untuk membuat tepung bungkus ialah tepung beras, tepung pulut, kelapa muda, santa dan gula Melaka atau gula yang dimasak.

"Harga tepung bungkus di gerai saya ialah 40 sen sebungkus atau RM2 untuk lima bungkus.

Di Perak, beberapa kuih tradisional Melayu yang hanya boleh didapati pada bulan Ramadan menjadi pilihan sebagai sajian pencuci mulut ketika berbuka puasa.
Antaranya ialah kuih kalakatar yang menjadi kegemaran penduduk kaum Banjar di Parit Buntar dan Bagan Serai.

Seorang pengusaha kuih kalakatar, Noriah Nazri, 56, berkata, sajian itu adalah bingka kelapa yang berasaskan campuran tepung gandum, tepung beras dan air serta isi kelapa muda.

Menurutnya, bagi mengekalkan keaslian, kuih tradisional itu dimasak dengan cara membakarnya dengan menggunakan sabut kelapa atau dikukus.

"Kalakatar enak dimakan panas-panas sesuai dengan namanya dalam bahasa Banjar yang bermaksud 'ketika panas'," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Lain pula dengan Penduduk Kampung Gajah dan Pasir Salak kerana secara tradisi, mereka akan mencari sejenis kuih yang dipanggil cecemek sebagai manisan berbuka puasa.

Menurut seorang peniaga kuih, Suhairi Kamarudin, 34, berkata, rupa dan rasa kuih cecemek yang turut dikenali sebagai bunga durian dan buah gorah seakan-akan limas dan badak berendam.

Namun bezanya, kuih yang dibuat daripada adunan tepung pulut, santan, gula dan garam itu berbentuk berkelopak dan berlubang di tengah-tengah.

Selain itu, buah timun betik juga menjadi kegemaran penduduk sekitar Ipoh dan Perak Tengah sebagai hidangan pencuci mulut ketika berbuka puasa.
Seorang peniaga, Ahmad Zawawi Abdul Rahim, 45, berkata, potongan buah yang berkulit kuning cair seperti betik tetapi biji berserat seperti timun itu dimakan bersama santan dan gula melaka.

"Timun   betik  lebih sedap dimakan sejuk dengan dicampur ketulan ais atau disimpan sejuk sementara menunggu waktu berbuka puasa," katanya.

No comments:

Post a Comment