Translate

Friday, August 2, 2013

Sindiket penipuan Love Scam tumpas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kegiatan penipuan internet Love Scam yang didalangi warga Afrika seperti tidak berkesudahan apabila dua lelaki Nigeria ditahan baru-baru ini membabitkan penipuan berjumlah RM102,000.
Selain dua lelaki yang berusia 28 dan 58 tahun itu, polis turut menahan dua wanita masing-masing warga Jepun dan seorang rakyat tempatan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, tangkapan empat suspek itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang jururawat yang berstatus isteri orang dan seorang guru wanita dua minggu lalu.

"Bertindak atas maklumat itu, kami membuat serbuan di Nilai, Negeri Sembilan dan merampas telefon bimbit, buku bank, kad bank, pasport, telefon talian tetap, sebuah modem internet serta sekotak kad nama," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.

Menurut beliau, sindiket itu memerangkap mangsa melalui laman Facebook dan Twitter dengan menggunakan gambar profil palsu lelaki yang berpersonaliti menarik, kaya serta alim.

"Selepas meyakinkan mangsa, suspek memaklumkan dia akan menghantar barangan berharga sebagai tanda persahabatan.

"Mangsa kemudian diminta membuat pembayaran dalam jumlah tertentu kononnya bagi melepaskan barangan itu yang telah ditahan pihak berkuasa," kata beliau.

Mohd.  Shukri  memberitahu, pemeriksaan mendapati dua lelaki Nigeria itu masuk ke Malaysia sebagai pelajar manakala wanita tempatan itu pula mengendalikan urusan akaun.

"Berdasarkan aduan, guru yang berusia 40 tahun itu mengalami kerugian RM12,000 manakala jururawat berusia 32 tahun yang masih bersuami dan mempunyai dua anak pula rugi RM90,000," katanya.

Difahamkan, jururawat itu sanggup membuat pinjaman peribadi dari bank berjumlah RM40,000 manakala bakinya pula dipinjam daripada rakan-rakan.

Empat suspek itu kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment