Translate

Monday, August 12, 2013

Kelindan lori bebas tuduhan kes dadah menjelang raya

IPOH - Seorang kelindan lori menerima berita gembira menjelang Aidilfitri apabila dia dibebaskan daripada dua tuduhan memiliki dan memasukkan dadah dalam badan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Mohsin Amri Adnan, 22, dari Kampung Kepayang di sini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memiliki ganja dan heroin serta memasukkan dadah jenis delta 9-tetrahidokabinol (THC) ketika serbuan di sebuah rumah di Jalan Pasir Puteh di sini pada 11 Januari 2012.

Hakim Madihah Harullah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nora Sharif gagal membuktikan kes prima facie.

"Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (memasukkan dadah dalam badan), tiada langsung bukti dikemukakan di mahkamah," katanya ketika membaca keputusan penghakimannya semalam.

Berdasarkan fakta kes, pasukan polis yang melakukan serbuan pada pukul 4.15 petang 11 Januari 2012 menahan Mohsin di dalam sebuah bilik dan menemui sebungkus plastik yang berisi ketulan mampat disyaki ganja seberat 48.7 gram dan 61 gram heroin.

Mohsin yang positif mengambil THC didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama.

Bagi pertuduhan pertama, dia boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan 10 kali sebatan manakala hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali bagi pertuduhan kedua jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohsin yang memakai baju-T belang kelabu sempat mengucapkan terima kasih kepada Madihah sebelum dipeluk oleh ahli keluarganya yang hadir mendengar prosiding tersebut.

No comments:

Post a Comment