Translate

Friday, December 29, 2017

Jejambat Bukit Tumbuh mula dibuka

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS –  Masalah kesesakan lalu lintas di Jamba­tan Sultan Mahmud di sini terutama pada waktu puncak pada masa ini bakal dikurangkan menerusi pembukaan persimpangan bertingkat Bukit Tumbuh di sini mulai semalam.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, persimpangan bertingkat sejauh 350 meter itu bertujuan untuk menyu­raikan trafik di Jambatan Sultan Mahmud yang merupakan laluan utama menghubungkan daerah ini dan Kuala Terengganu.

“Kajian mendapati kese­sakan trafik di Jambatan Sultan Mahmud sebelum ini disebabkan kapasiti kenderaan yang tinggi untuk ke Seberang Takir melalui Bukit Tumbuh di sini terutama pada waktu puncak dan perayaan.

“Persimpangan bertingkat yang menelan belanja RM25 juta itu diharap mampu menyediakan sistem penyuraian trafik le­bih efektif bagi kedua-dua hala bagi Kuala Terengganu dan Kuala Nerus,” katanya selepas melepaskan trafik di persimpa­ngan bertingkat Bukit Tumbuh di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Rosli Othman dan Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Che Kamaruddin Bahar.

Menurut Ahmad Razif, persimpangan bertingkat yang mula dibina pada 2 November 2015 itu juga bakal melicinkan pergerakan ke susur Seberang Takir di sini sekali gus menawarkan laluan alternatif yang selesa untuk ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini.

Tambah beliau, pembinaan persimpangan bertingkat tersebut merupakan persiapan bagi menghadapi kepesatan daerah ini yang dijangka bakal semakin rancak setelah Bandar Baru Kuala Nerus di Gong Badak di sini siap sepenuhnya dalam beberapa tahun lagi.

No comments:

Post a Comment