Translate

Monday, September 28, 2015

1 daripada 3 orang Malaysia gemuk

Oleh NOOR HASLIZA NUSI, MOHD. AZLI ADLAN dan MOHD. HAFIZI AHMAD


KUALA LUMPUR – Seorang daripada tiga penduduk negara ini mempunyai berat badan berlebihan menjadikan rakyat Malaysia terus kekal sebagai negara paling ramai orang gemuk di Asia Tenggara dan keenam di Asia Pasifik.
Malah, Kementerian Kesihatan mendedahkan sebanyak 73 peratus kematian di hospital kerajaan ketika ini adalah disebabkan oleh penyakit tidak berjangkit (NCD) yang kebanyakannya berpunca daripada masalah obesiti.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya di Asia Tenggara, Malaysia adalah negara yang mempunyai jumlah penduduk gemuk tertinggi iaitu seramai 13.8 juta orang diikuti Thailand dan Singapura.
“Di negara Asia Tenggara ini, memang Malaysia yang paling gemuk, 44.5 peratus penduduk mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) lebih daripada 25.
“Orang Malaysia makan enam kali sehari, bermula dengan sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang, makan malam, tengah malam sehinggalah lewat pagi. Kita pun makan banyak makanan berlemak dan kurang bersenam.


“Gaya hidup masyarakat sekarang pun sudah berubah, sekarang mereka ba­nyak tengok komputer dan media sosial,” katanya pada sidang akhbar selepas me­nyerahkan 23 lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha di Balik Pulau, Pulau Pinang semalam.

Beliau berkata, masalah penyakit NCD seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti serta strok amat membimbangkan dan ia boleh menyumbang kepada pelbagai penyakit serius yang lain.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pe­ngarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr. Feisul Idzwan Mustafa berkata, Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2011 mendapati, 44.5 peratus rakyat Malaysia me­ngalami masalah kegemukan dengan 15.1  daripadanya tergolong dalam kategori obesiti.

Beliau berkata, ia merupakan peningkatan 14 peratus berbanding tahun 2006 dan perlu diberi perhatian serius kerana mengatasi kadar kegemukan global iaitu 30 peratus.

“Tambah membimbangkan peratusan remaja dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang mengalami obesiti berada  sekitar 6.1 peratus.

“Mereka berpotensi membesar sebagai individu yang berisiko tinggi mengalami pelbagai masalah kesihatan berikutan gaya hidup yang tidak sihat sejak kecil,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.

Feisul Idzwan menjelaskan, mengikut takrifan Pertubuhan Kesihatan Dunia, individu lelaki dan wanita dianggap berada ditahap obesiti sekiranya BMI mereka melebihi 30.

“Nisbah satu daripada lima atau 206 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit diabetes, manakala 50 peratus kematian di negara ini disebabkan oleh penyakit kardiovaskular iaitu serangan jantung dan strok.

“Individu yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi pula mempunyai risiko sekurang-kurangnya 50 peratus untuk mendapat strok dan penyakit hati,” katanya.
Feisul Idzwan berkata, pengambilan makanan yang tinggi lemak, gula dan garam secara keterlaluan menjadi punca utama peningkatan masalah kegemukan di negara ini.

No comments:

Post a Comment