Translate

Thursday, January 28, 2016

Yazid, Hilmi dipenjara 7 tahun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA), Yazid Sufaat yang merupakan pemilik kafeteria dan pekerjanya, Muhammad Hilmi Hasim dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas kesalahan menyembunyikan maklumat berhubung kegiatan keganasan pada empat tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Husin memerintahkan demikian selepas Yazid, 52, dan Muhammad Hilmi, 36, membuat pe­ngakuan bersalah atas pertuduhan pindaan yang telah dikemukakan pihak pendakwaan.

“Mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kegiatan ke­ganasan di dalam negara dan dunia yang berlaku pada masa ini, mahkamah menjatuhkan hukuman berat iaitu penjara maksimum tujuh tahun.

“Hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 7 Februari 2013,” katanya ketika membacakan penghakiman di sini semalam.

Mengikut pertuduhan, Yazid dan Muhammad Hilmi didakwa dengan sengaja tidak memberi apa-apa maklumat ber­kenaan perbuatan keganasan di rumah tertuduh pertama di DL11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang, Selangor pada antara bulan Mei dan Oktober 2012.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Yazid dan Muhammad Hilmi mengetahui perancangan Razif Mohd. Ariff dan Muhammad Razin Sharhan Mustaffa Kamal untuk ke Syria untuk mengangkat senjata bagi menentang kerajaan Presiden Bashar Al-Assad.

Mereka mengenali kedua- dua lelaki itu yang menyertai kelas usrah dikendali Yazid di Hotel de Palma, Ampang dan rumahnya antara tahun 2011 dan 2012.

Razif dan Muhammad Razin Sharhan kemudiannya telah ditahan pihak berkuasa Lebanon dan menerima hukuman penjara selama empat tahun oleh Mahkamah Tentera negara itu ketika dalam perjalanan ke Sy­ria pada 18 Oktober 2012.

Sebelum ini, Yazid menghadapi pertuduhan menggalakkan keganasan bagi mewujudkan ideologi dengan niat mengugut orang awam di Syria di antara pukul 8.30 pagi hingga 10.30 pagi pada 20 Oktober 2012.

Dia juga didakwa menjadi ahli kumpulan Tanzim Al-Qaeda Malaysia antara 1 Ogos 2012 hingga 7 Februari 2013.

Muhammad Hilmi pula dituduh turut menjadi anggota Tanzim Al-Qaeda dan bersuhabat dengan tertuduh pertama untuk menggalakkan keganasan.

Namun kesemua pertuduhan asal yang mempunyai hukuman yang lebih berat terbabit telah digugurkan kelmarin selepas Jabatan Peguam Negara bersetuju dengan representasi yang dihantar pihak pembelaan diwakili Amer Hamzah Arshad pada Jumaat lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memohon hukuman maksimum dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh bagi memberi mesej tegas kepada masyarakat tentang kepen­tingan tidak menyembunyikan informasi kegiatan keganasan kepada pihak berkuasa.

No comments:

Post a Comment