Translate

Thursday, February 24, 2011

Empat pengarah didakwa ubah wang haram RM500 juta

IPOH - Empat pengarah syarikat perdagangan emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 327 tuduhan mengambil, mengguna dan memindahkan wang haram melibatkan transaksi mencecah setengah bilion ringgit di sini semalam.

Chang Kuei Geh, 57, Chong Yuk Ming, 49, Ho Chee Cheong, 41, dan Goon Koon Lee, 48 yang merupakan pengarah Bestino Golden Houses Sdn. Bhd. ( Bestino Golden Houses) didakwa melakukan perbuatan tersebut di antara 9 Julai 2006 hingga 21 September 2008.

Semua tertuduh menghadapi 322 tuduhan di bawah Akta Penggubahan Wang Haram 2001 dan lima tuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989. Mereka yang diwakili peguam N. Rajivan mengaku tidak bersalah.

Berdasarkan fakta kes, mereka sebagai pengarah Bestino Golden Houses yang beroperasi di sebuah premis di Jalan Sultan Yusoff di sini menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah seperti ditetapkan di bawah Sub-Seksyen 6 (4) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

Perbuatan tersebut bersalahan dengan Seksyen 25 (1) akta terbabit yang dibaca bersama Seksyen 106 (1) akta sama yang membolehkan mereka masing-masing dijatuhi hukuman denda sehingga RM10 juta dan penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain pertuduhan individu, Kuei Geh, Yuk Ming, Chee Cheong dan Koon Lee juga didakwa dalam satu lagi pertuduhan sama selaku pengarah bersama syarikat terbabit.

Kuei Geh juga menghadapi 114 tuduhan, Yuk Ming (52), Chee Cheong (54) dan Koon Lee berdepan dengan 102 pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM156.2 juta.

Sehubungan itu semua aset keempat-empat tertuduh seperti rumah, kereta mewah, akaun simpanan persendirian dan syarikat bernilai lebih RM23 juta dibekukan oleh Bank Negara.

Bestino Golden Houses dipercayai mengambil deposit orang awam secara haram untuk menjalankan perdagangan emas di luar negara.

Hakim Julie Lack Abdullah membenarkan semua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM1.5 juta. Kes disebut semula 11 April depan.

No comments:

Post a Comment