Translate

Friday, November 28, 2025

Luruan angin beralih ke Selatan Thai, sepatutnya Pantai Timur punca Hatyai bah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Luruan angin yang sepatutnya bertiup ke arah Pantai Timur Semenanjung Malaysia beralih ke Selatan Thailand ekoran tekanan rendah Lautan Hindi punca berlakunya banjir besar di 10 wilayah di negara tersebut termasuk pusat pelancongan terkenal negara jiran, Hatyai. 

Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, luruan angin Monsun Timur Laut (MTL) sama sebelum ini telah menyebabkan banjir di wilayah tengah Vietnam baru-baru ini. 

“Luruan angin MTL biasanya akan bertiup ke arah Pantai Timur (Semenanjung Malaysia), namun disebabkan Lautan Hindi mengalami tekanan lebih rendah, ia bergerak ke arah barat sebelum bertembung di Selatan Vietnam. 

 “Luruan angin berkenaan seterusnya merentasi Selatan Thailand dengan Hatyai antara bandar terjejas banjir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. 

 Jing Xiang berkata, luruan angin yang menyebabkan kelembapan berlebihan dijangka membawa hujan lebat ke Hatyai sehingga Khamis ini. 

 Beliau berkata, biarpun pusat bandar Hatyai jarang dilanda banjir dengan kali terakhir ia berlaku pada tahun 2010, namun ia turut mengalami hujan lebat luar biasa ekoran kedudukannya yang hampir dengan Pantai Timur Thailand. 

 Mengulas lanjut, Jing Xiang berkata, buat masa ini, tempias cuaca buruk di Selatan Thailand termasuk Hatyai turut memberi kesan hujan berlebihan di Kela tan, Perlis, utara Kedah dan utara Terengganu.

 Begitupun katanya, impaknya dilihat semakin berkurangan terutama di Terengganu dan Kelantan ekoran sistem tekanan rendah sedang terbentuk di sekitar utara Sumatera, Indonesia.

 “Sistem tekanan rendah itu sedang menarik kelembapan yang sedang berlaku di Pantai Timur ke arahnya. 

 “Bagaimanapun, Perlis dan utara Kedah masih perlu berjaga jaga kerana kedua-dua kawasan itu terletak di laluan pergerakan kelembapan bergerak dari timur ke barat berkenaan,” katanya

No comments:

Post a Comment