Translate

Saturday, April 4, 2026

Diuji sakit, serba kurang tetapi berjaya

PETALING JAYA – Biarpun dibelenggu pelbagai ujian kesihatan dan kekurangan diri, namun ia tidak menjadi penghalang untuk pelajar meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025. 

Di Rembau, tekad seorang pejuang kanser meneruskan peperiksaan SPM ternyata membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh 8A 1B, meskipun terpaksa melalui rawatan kemoterapi yang perit sepanjang tempoh peperiksaan. 

Aaron Darwisy Fakrulrazi, pelajar Sekolah Menengah Sains Rembau, mula dikesan menghidap kanser tulang pada September 2025 selepas terdapat ketumbuhan pada bahu kanannya. 

Ibunya, Norfardilawati berkata, anaknya pernah dimasukkan ke hospital selama enam hari akibat jangkitan kuman dalam darah semasa kertas Bahasa Inggeris dan Sejarah, selain jangkitan mata ketika menduduki kertas akhir Matematik Tambahan. 

“Dia juga beberapa kali pengsan semasa Ujian Lisan di sekolah, malah sebaik sahaja tamat kertas terakhir, Aaron terus menjalani pembedahan besar selama 12 hingga 13 jam. 

“Jujurnya, saya tidak meletakkan jangkaan tinggi kerana hanya mahu dia sembuh. Melihat keputusan 8A dan 1B ini, saya rasa segala kesakitan dan keazamannya sangat berbaloi,” katanya. 

Di Seremban, kekangan fizikal bukan penghalang bagi seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) yang menghidap osteogenesis imperfecta untuk meraih 11A. 

Muhammad Naazir Danesh Mohd. Khairuddin 17, pelajar jurusan Sains Agama Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Sheikh Ahmad, menghidap penyakit tulang rapuh sejak lahir yang menyebabkan dia tidak boleh melakukan aktiviti lasak serta berisiko patah tulang walaupun dengan impak ringan.

Katanya, dia tidak pernah mengikuti kelas tuisyen, sebaliknya mengamalkan pembelajaran kendiri di rumah. 

“Saya mula mengulang kaji dua minggu sebelum peperiksaan dan sebulan lebih awal bagi subjek sukar,” katanya. 

Di Kota Bharu, seorang penghidap autisme, Nur Syahirah Syazwani Zailani,18, berjaya memperoleh keputusan 10A dan 1B. 

“Bagi membina keyakinan diri, saya kerap membaca surah al-Mulk, al-Kahfi dan yasin sebelum mengulang kaji pelajaran di rumah dalam tempoh tiga hingga empat jam,” katanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat semalam. 

Di Kuala Nerus, pengorbanan seorang bapa sanggup berhenti kerja demi anak tunggalnya berbaloi apabila anaknya yang juga OKU meraih semua A dalam lapan mata pelajaran. 

Mohd. Syah Rizal Sulong, 48, berkata, Putri Noor Syahida, 18, dilahirkan dengan penyakit cerebral palsy yang membataskan pergerakan fizikalnya. 

“Sebaik dia memasuki darjah satu, saya ambil keputusan tolak peluang bekerja di Korea Selatan dalam bidang perhotelan,” katanya di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud.

 Katanya, sewaktu anaknya berada di sekolah rendah, dia rela menunggunya di sekolah sehingga tamat waktu persekolahan. 

“Sebab itu saya kerja sendiri selain dibantu isteri yang juga jurujual kenderaan,” katanya.

Friday, April 3, 2026

Tetap cemerlang

Oleh RIDZAUDDIN ROSLAN, MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD, MOHD. AZLI ADLAN, NUR SHARIEZA ISMAIL, MAISARAH ARRIFIN, TOREK SULONG dan NORFARHIZA MOHD ATAR

PUTRAJAYA – Seramai 13,779 daripada 413,299 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 merekodkan keputusan cemerlang apabila berjaya memperoleh gred A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran. 

Keputusan yang diumumkan semalam turut menyaksikan Gred Purata Kebangsaan (GPK) peperiksaan itu merekodkan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun sejak 2021 dengan 4.42 mata. 

Lebih membanggakan, mereka merupakan kumpulan pertama yang tidak menduduki peperiksaan utama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). 

Keputusan itu membuktikan bahawa generasi pelajar hari ini mempunyai daya tahan tinggi, termasuk menghadapi cabaran ketika pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, seramai 376 calon memperoleh keputusan cemerlang A+ dalam semua mata pelajaran. 

“Bilangan calon memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran pula seramai 92,347 orang atau 23.76 peratus berbanding 86,040 orang pada 2024. 

“Calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran seramai 141,728 orang, berbanding 136,791 orang pada tahun sebelumnya,” katanya pada sidang akhbar Pengumuman Keputusan SPM 2025 di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini semalam.

 Bagaimanapun, Mohd. Azam berkata, jumlah calon yang cemerlang A+, A dan A- menurun 0.10 peratus. 

“KPM akan meneliti perkara ini dan mengambil tindakan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah. Ia bukanlah penurunan yang besar kerana terdapat peningkatan dalam kumpulan kepujian, lulus yang merekodkan pencapaian agak tinggi,” katanya.

 Jelasnya, GPK SPM 2025 turut merekodkan pencapaian terbaik iaitu 4.42 berbanding 4.49 pada 2024, 4.60 (2023), 4.74 (2022) dan 4.86 (2021). 

Secara keseluruhannya, pencapaian calon berdasarkan indeks GPK adalah lebih baik sejak SPM menggunakan Kurikulum Standard Sekolah Menengah mulai 2021. 

“Jurang pencapaian calon di bandar dan luar bandar juga semakin mengecil sebanyak 0.04 mata,” katanya. GPK calon bandar adalah 4.40 mata, berbanding 4.47 mata (2024). GPK calon di luar bandar pula 4.81 mata (2025) berbanding 4.92 mata (2024). 

Seramai 7,099 calon pula tidak hadir peperiksaan sekurangkurangnya enam mata pelajaran kerana bekerja, berpindah ke luar negara, kemalangan dan masalah keluarga. 

“Ada antara calon yang mempunyai masalah kesihatan, masalah pengangkutan, meninggal dunia selain ada yang ditahan pihak berkuasa. 

“Jarak masa panjang dari tempoh pendaftaran awal tahun sehingga peperiksaan sebenar pada November turut menyumbang kepada faktor ketidakhadiran calon,” katanya. 

Tambahnya, KPM melakukan pelbagai program intervensi untuk memastikan calon hadir menduduki peperiksaan. 

“Program ziarah cakna dengan pergi ke rumah murid dilakukan dengan memberikan panduan dan nasihat kepada ibu bapa dan murid itu sendiri,” katanya. 

Di Kajang, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan semalam membuktikan generasi pelajar sekarang mempunyai daya tahan tinggi, termasuk menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

 “Tetapi kita ambil sikap lebih positif, melihat kepada apa yang sedang berlaku dalam konteks pendidikan negara khususnya keputusan ini membuktikan mereka adalah generasi atau kohort anak-anak yang daya tahannya cukup tinggi .

“Calon SPM 2025 unik kerana tidak melalui sebarang peperiksaan sebelum ini. 

“Namun mereka membuktikan kemampuan diri untuk mencapai keputusan cemerlang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Majlis Pengumuman SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang di sini semalam. 

Thursday, April 2, 2026

Gaji SSPA 1.6 juta orang ‘gomen’ jadi buruan scammer

 

Oleh KOSMO!

PETALING JAYA – Sindiket penipuan dalam talian atau scammer kini rancak memburu mangsa dalam kalangan penjawat awam ekoran lebih 1.6 juta pekerja kerajaan itu akan mula menerima gaji pertama mengikut pelarasan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) esok. 

Dakwaan itu mungkin berasas apabila sebahagian penjawat awam mula rimas apabila menerima beberapa panggilan daripada scammer sejak dua minggu lalu yang mencuba pelbagai helah untuk menipu. 

Gaji pertama mengikut SSPA yang akan menerjah akaun esok melibatkan pelbagai kumpulan dalam perkhidmatan awam dan ia terbahagi kepada dua fasa iaitu pada bulan ini serta Januari tahun 2026. 

Mereka yang terlibat merupakan dalam kumpulan pelaksana, pengurusan dan profesional.

 Di Johor Bahru, seorang kakitangan awam pasukan keselamatan, Muhammad Saifulnizam, 24, berkata, dia telah dihubungi beberapa kali oleh scammer sejak dua minggu lalu yang cuba mencari helah untuk menipu. 

Katanya, dia hairan bagaimana scammer boleh mendapat nombor telefonnya. “Boleh katakan dua hari sekali mereka akan hubungi saya menggunakan nombor berlainan yang tidak dikenali. 

“Saya jawab kerana ingatkan rakan atau kenalan tukar nombor tetapi apabila mereka guna taktik perlu bayar parcel, kad bank disekat sebab gubah wang haram dan surat mahkamah sebab tak bayar hutang, saya terus letak sebab tahu itu scammer,” katanya. 

Seorang lagi penjawat awam bahagian pendidikan, Haslan Mohamad, 37, berkata, dia ada juga menerima panggilan tak kira masa daripada scammer.

 “Setiap masa mereka berusaha mencuri duit kita. Taktik yang digunakan sama ada bayar parcel, pinjam duit dan sebagainya.

 “Saya pernah tertipu ingatkan kawan mahu pinjam wang tetapi scammer. Mujurlah jumlah bantuan itu tidak besar,” katanya. 

Di Kuala Terengganu, Sharifuddin Ayob, 48, berkata, dia mula menerima mesej tawaran menyertai skim pelaburan dan pinjaman diragui menerusi WhatsApp dan Telegram sejak dua minggu lalu. 

Katanya, scammer berjanji mahu memberikan pulangan lumayan sehingga 23 kali ganda dan jika rambang mata, seseorang itu akan terkena.

 “Saya beringat selepas seorang rakan rugi puluhan ribu akibat ditipu dalam skim pelaburan palsu beberapa tahun lalu. Pinjaman peribadi pun banyak scammer cuba tawarkan dengan faedah amat rendah. 

“Saya memang tak layan sebab tidak mahu tambah hutang lagi,” katanya. 

Siti Jamilah Hanim Jamil, 40, pula mendakwa beberapa kali menerima panggilan individu tidak dikenali mendakwa kononnya akaun banknya digodam sejak awal bulan ini. 

“Dia buat suara garang dakwa kononnya akaun bank saya teribat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

 “Sudah tentu saya tidak percaya kerana pernah dengar modus operandi ini di media. Sekarang saya naik takut dan tidak mahu menjawab panggilan daripada nombor tidak dikenali lagi,” katanya. 

Di Ipoh, Khairul Ali Rosman, 29, berkata, dia biasanya dihubungi individu yang mendakwa bekerja dengan bank untuk membuat pinjaman peribadi setiap kali hari gaji.

 “Mereka akan aktif apabila tiba hari gaji. Scammer tak berputus asa walaupun tidak dilayan. 

“Saya tahu scammer sebab mereka akan sambungkan panggilan kepada individu lain sama seperti modus operandi yang dimaklumkan pihak berkuasa,” katanya. 

Nur Munirah Azmeer, 38, pula berkata, dia fobia setiap kali hari gaji tiba kerana telefonnya pasti berdering-dering dengan panggilan scammer. 

“Mereka tahu maklumat peribadi dan biasanya mereka menyamar sebagai pegawai hasil dalam negeri,” katanya.

Wednesday, April 1, 2026

591 calon SPM Terengganu peroleh semua A

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 591 calon Terengganu memperolehi semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan sebentar tadi.

Pengarah  Pendidikan Terengganu, Kamsah @ Kamal Mohamed berkata, ia peningkatan 59 calon berbanding 532 orang pada tahun lalu.

“Calon SPM negeri ini yang memperolehi semua A+ juga meningkat kepada 25 orang berbanding 11 orang pada tahun lalu.

“Gred Purata Negeri (GPN) juga meningkat kepada 4.17 yang juga mengatasi Gred Purata Nasional iaitu 4.42,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM peringkat Terengganu di sini hari ini.

Kamsah berkata, seramai 11,633 daripada 17,457 calon iaitu 67.6 peratus lulus bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Beliau berkata, pencapaian itu lebih baik berbanding 66.41 peratus yang dicapai pada tahun lalu.

“Secara keseluruhannya, 96.61 peratus iaitu 16,624 calon yang menduduki SPM layak menerima sijil SPM.

“Begitupun, seramai 249 calon atau 1.42 peratus tidak hadir pada peperiksaan SPM 2024,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Bot bawa lebih muatan di Pulau Redang disita APMM

KUALA NERUS – Sebuah bot penumpang yang membawa muatan lebih dua kali ganda ditahan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pulau Redang dekat sini kelmarin. 

Bot yang membawa 25 penumpang sedangkan had maksimum cuma 12 orang itu ditahan pada kedudukan kira-kira 48.15 kilometer (km) dari perairan Kuala Terengganu. 

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pemeriksaan juga mendapati tiga kru bot itu juga tidak memakai jaket keselamatan. 

“Perbuatan pengusaha bot tersebut bukan sahaja melanggar syarat permit, malah membahayakan nyawa penumpang.

 “Tiga kru berusia dalam lingkungan 19 hingga 23 tahun juga didapati mengabaikan keselamatan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. 

Menurutnya, tindakan tegas telah diambil dengan mengarahkan bot pelancong berkenaan berhenti sebelum kesemua 25 penumpang diarahkan turun dengan selamat. 

Katanya, tiga kru terlibat pula ditahan, manakala bot itu disita sebelum ditunda ke Jeti Markas Maritim Terengganu, Kuala Terengganu dekat sini. 

“Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. “APMM tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan aspek keselamatan di laut. 

“Rondaan di perairan rangkain pulau peranginan di Terengganu akan dipertingkat memandangkan operasi pelancongan kembali rancak berikutan berakhirnya musim tengkujuh,” katanya.

SPM 2025: Pengorbanan 11 tahun bapa teman anak cerebral palsy bersekolah berbaloi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Pengorbanan seorang bapa sanggup berhenti kerja demi membantu pembelajaran anak tunggalnya selama 11 tahun di sekolah berbaloi apabila puterinya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan hari ini.

Mohd. Syah Rizal Sulong,48, berkata, anak perempuannya, Putri Noor Syahida, 18, memperoleh semua A dalam lapan mata pelajaran diambil.

“Anak saya dilahirkan dengan penyakit cerebral palsy yang membataskan pergerakan fizikalnya terutama untuk menaiki tangga dan berjalan jauh.

“Sebaik dia memasuki darjah satu, saya ambil keputusan tolak peluang bekerja di Korea Selatan dalam bidang perhotelan untuk fokus sepenuhnya kepada dia (Putri Noor Syahida) di sekolah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd. Syah Rizal berkata, sewaktu Putri Noor Syahida berada di sekolah rendah, dia menunggu anak tunggalnya di sekolah sehingga tamat waktu persekolahan harian.

Bekas kakitangan sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur tersebut berkata, waktu itu, anaknya perlu dibantu pergerakan terutama sewaktu menaiki tangga serta berjalan ke kelas, kantin dan tandas sekolah.

“Sebaik anak saya memasuki sekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting di sini, dia sudah semakin berdikari. Saya hanya perlu bersedia membantu pada hari yang dia perlu ke makmal sains.

“Komitmen itu menyebabkan memilih bekerja sendiri yang lebih fleksibel selain dibantu isteri, Norlida Mohd. Nor, 42, yang merupakan jurujual kenderaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE