PETALING JAYA – Biarpun dibelenggu pelbagai ujian kesihatan dan kekurangan diri, namun ia tidak menjadi penghalang untuk pelajar meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Di Rembau, tekad seorang pejuang kanser meneruskan peperiksaan SPM ternyata membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh 8A 1B, meskipun terpaksa melalui rawatan kemoterapi yang perit sepanjang tempoh peperiksaan.
Aaron Darwisy Fakrulrazi, pelajar Sekolah Menengah Sains Rembau, mula dikesan menghidap kanser tulang pada September 2025 selepas terdapat ketumbuhan pada bahu kanannya.
Ibunya, Norfardilawati berkata, anaknya pernah dimasukkan ke hospital selama enam hari akibat jangkitan kuman dalam darah semasa kertas Bahasa Inggeris dan Sejarah, selain jangkitan mata ketika menduduki kertas akhir Matematik Tambahan.
“Dia juga beberapa kali pengsan semasa Ujian Lisan di sekolah, malah sebaik sahaja tamat kertas terakhir, Aaron terus menjalani pembedahan besar selama 12 hingga 13 jam.
“Jujurnya, saya tidak meletakkan jangkaan tinggi kerana hanya mahu dia sembuh. Melihat keputusan 8A dan 1B ini, saya rasa segala kesakitan dan keazamannya sangat berbaloi,” katanya.
Di Seremban, kekangan fizikal bukan penghalang bagi seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) yang menghidap osteogenesis imperfecta untuk meraih 11A.
Muhammad Naazir Danesh Mohd. Khairuddin 17, pelajar jurusan Sains Agama Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Sheikh Ahmad, menghidap penyakit tulang rapuh sejak lahir yang menyebabkan dia tidak boleh melakukan aktiviti lasak serta berisiko patah tulang walaupun dengan impak ringan.
Katanya, dia tidak pernah mengikuti kelas tuisyen, sebaliknya mengamalkan pembelajaran kendiri di rumah.
“Saya mula mengulang kaji dua minggu sebelum peperiksaan dan sebulan lebih awal bagi subjek sukar,” katanya.
Di Kota Bharu, seorang penghidap autisme, Nur Syahirah Syazwani Zailani,18, berjaya memperoleh keputusan 10A dan 1B.
“Bagi membina keyakinan diri, saya kerap membaca surah al-Mulk, al-Kahfi dan yasin sebelum mengulang kaji pelajaran di rumah dalam tempoh tiga hingga empat jam,” katanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat semalam.
Di Kuala Nerus, pengorbanan seorang bapa sanggup berhenti kerja demi anak tunggalnya berbaloi apabila anaknya yang juga OKU meraih semua A dalam lapan mata pelajaran.
Mohd. Syah Rizal Sulong, 48, berkata, Putri Noor Syahida, 18, dilahirkan dengan penyakit cerebral palsy yang membataskan pergerakan fizikalnya.
“Sebaik dia memasuki darjah satu, saya ambil keputusan tolak peluang bekerja di Korea Selatan dalam bidang perhotelan,” katanya di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud.
Katanya, sewaktu anaknya berada di sekolah rendah, dia rela menunggunya di sekolah sehingga tamat waktu persekolahan.
“Sebab itu saya kerja sendiri selain dibantu isteri yang juga jurujual kenderaan,” katanya.


