Translate

Sunday, December 21, 2025

Kes fitnah terhadap Sultanah Terengganu dibicara semula

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi, di sini semalam mengisytiharkan prosiding perbicaraan kes Clare Rewcastle-Brown, 66, memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah oleh Mahkamah Majistret di sini yang berlangsung tahun lalu sebagai tidak sah. 

Hakim Datuk Seri Mohd. Razi Harun memerintahkan kes melibatkan pengasas dan editor Sarawak Report itu agar didengar semula ke Mahkamah Majistret.

 “Saya memerintahkan kes ini dibicarakan semula di hadapan Majistret baharu dengan pertuduhan sama terhadap perayu (Rewcastle-Brown). 

“Saksi-saksi pendakwaan perlu dipanggil semula bagi memberi keterangan,” katanya ketika membacakan penghakimannya di sini semalam. 

Mohd. Razi berkata, keputusan dibuat berikutan isu teknikal undang-undang berikutan Mahkamah Majistret sebelum ini telah meneruskan perbicaraan tanpa menentukan sama ada adil atau sebaliknya ia dijalankan tanpa kehadiran perayu. 

Sebelum ini, Mahkamah Majistret di sini pada 7 Februari 2024 telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap Rewcastle-Brown. 

Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh bersalah menfitnah Sultanah Nur Zahirah tanpa kehadirannya sepanjang prosiding. 

Berdasarkan pertuduhan, Rewcastle-Brown didakwa menulis sebuah buku bertajuk The Sarawak Report- The Inside Story of the 1MDB Expose yang mengandungi perkataan “the wife of the sultan” yang didakwa merupakan tohmahan merosakkan nama baik Sultanah Nur Zahirah.

 Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya, Azizan Abdullah, Mohd. Khairuddin Idris dan Nur Aisyah Mohd., manakala Rewcastle-Brown pula diwakili peguam, Guok Ngek Siong. 

Sementara itu, Ngek Siong berkata, beliau tidak pasti anak guamnya yang kini bermastautin di Britain akan hadir dalam pembicaraan semula kes tersebut di mahkamah majistret nanti. 

Beliau berkata, ia disebabkan tindakan ekstradisi sukar dilakukan berikutan perbezaan tarifan peruntukan undang-undang antara negara ini dan Britain.

No comments:

Post a Comment