KEMAMAN – Hasrat seorang ahli perniagaan untuk meraih keuntungan berganda tidak kesampaian apabila kerugian RM704,000 selepas terjerat dalam skim pelaburan tidak wujud.
Lelaki berusia 73 tahun itu tersebut yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, lelaki warga emas tersebut terpengaruh untuk menyertai tawaran skim pelaburan saham yang diterimanya menerusi aplikasi WhatsApp.
“Dia membuat pelaburan keseluruhan berjumlah RM704,000 bagi menyertai skim pelaburan tidak wujud berkenaan.
“Pelaburan itu dilakukan menerusi 10 transaksi ke dalam tiga akaun bank berbeza antara 4 November hingga 4 Disember lalu,” katanya semalam.
Wan Muhamad berkata, mangsa akhirnya sedar tertipu apabila tidak menerima sebarang pulangan yang dijanjikan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan melakukan semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan. Semakan boleh dilakukan menerusi Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti. Jangan mudah terpengaruh dengan pelaburan yang untung dalam tempoh singkat,” katanya.
No comments:
Post a Comment