Oleh RIDZAUDDIN ROSLAN, MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD, MOHD. AZLI ADLAN, NUR SHARIEZA ISMAIL, MAISARAH ARRIFIN, TOREK SULONG dan NORFARHIZA MOHD ATAR
PUTRAJAYA – Seramai 13,779
daripada 413,299 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 merekodkan keputusan cemerlang
apabila berjaya memperoleh
gred A+, A dan A- bagi semua
mata pelajaran.
Keputusan yang diumumkan
semalam turut menyaksikan
Gred Purata Kebangsaan (GPK)
peperiksaan itu merekodkan
pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun sejak 2021 dengan 4.42 mata.
Lebih membanggakan, mereka merupakan kumpulan pertama yang tidak menduduki
peperiksaan utama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Keputusan itu
membuktikan bahawa generasi pelajar
hari ini mempunyai daya tahan tinggi, termasuk
menghadapi cabaran ketika pandemik Covid-19.
Ketua Pengarah Pendidikan,
Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad
berkata, seramai 376 calon memperoleh keputusan cemerlang A+
dalam semua mata pelajaran.
“Bilangan calon memperoleh
sekurang-kurangnya kepujian
atau gred C dalam semua mata
pelajaran pula seramai 92,347
orang atau 23.76 peratus berbanding 86,040 orang pada 2024.
“Calon yang memperoleh
sekurang-kurangnya lulus atau
gred E dalam semua mata pelajaran seramai 141,728 orang, berbanding 136,791 orang pada tahun sebelumnya,” katanya pada
sidang akhbar Pengumuman
Keputusan SPM 2025 di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini
semalam.
Bagaimanapun, Mohd. Azam
berkata, jumlah calon yang cemerlang A+, A dan A- menurun
0.10 peratus.
“KPM akan meneliti perkara
ini dan mengambil tindakan bersama Jabatan Pendidikan Negeri
(JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah. Ia
bukanlah penurunan yang besar
kerana terdapat peningkatan
dalam kumpulan kepujian, lulus
yang merekodkan pencapaian
agak tinggi,” katanya.
Jelasnya, GPK SPM 2025 turut
merekodkan pencapaian terbaik
iaitu 4.42 berbanding 4.49 pada
2024, 4.60 (2023), 4.74 (2022) dan
4.86 (2021).
Secara keseluruhannya, pencapaian calon berdasarkan indeks GPK adalah lebih baik sejak
SPM menggunakan Kurikulum
Standard Sekolah Menengah mulai 2021.
“Jurang pencapaian calon di
bandar dan luar bandar juga semakin mengecil sebanyak 0.04
mata,” katanya.
GPK calon bandar adalah
4.40 mata, berbanding 4.47 mata
(2024). GPK calon di luar bandar
pula 4.81 mata (2025) berbanding
4.92 mata (2024).
Seramai 7,099 calon pula tidak
hadir peperiksaan sekurangkurangnya enam mata pelajaran kerana bekerja, berpindah
ke luar negara, kemalangan dan
masalah keluarga.
“Ada antara calon yang mempunyai masalah kesihatan,
masalah pengangkutan, meninggal dunia selain ada yang ditahan
pihak berkuasa.
“Jarak masa panjang dari tempoh pendaftaran awal tahun
sehingga peperiksaan sebenar
pada November turut menyumbang kepada faktor ketidakhadiran calon,” katanya.
Tambahnya, KPM melakukan pelbagai program intervensi
untuk memastikan calon hadir
menduduki peperiksaan.
“Program ziarah cakna dengan
pergi ke rumah murid dilakukan
dengan memberikan panduan
dan nasihat kepada ibu bapa dan
murid itu sendiri,” katanya.
Di Kajang, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata,
keputusan semalam membuktikan generasi pelajar sekarang
mempunyai daya tahan tinggi,
termasuk menghadapi cabaran
pandemik Covid-19.
“Tetapi kita ambil sikap lebih
positif, melihat kepada apa yang
sedang berlaku dalam konteks
pendidikan negara khususnya
keputusan ini membuktikan
mereka adalah generasi atau kohort anak-anak yang daya tahannya cukup tinggi .
“Calon SPM 2025 unik kerana
tidak melalui sebarang peperiksaan sebelum ini.
“Namun mereka membuktikan kemampuan diri untuk
mencapai keputusan cemerlang,”
katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Majlis Pengumuman SPM 2025 di Sekolah
Menengah Kebangsaan Tinggi
Kajang di sini semalam.