Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA TERENGGANU – Keluarga kepada lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental yang dipukul beberapa individu dalam kejadian di Pasar Tani Padang Astaka Chukai dekat sini, Jumaat lalu, tetap meneruskan hasrat untuk mengemukakan saman sivil kepada pihak yang terlibat.
Isteri mangsa, Faridah Abdul Karim, 44, berkata, perbuatan memukul dan membelasah suaminya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, yang merupakan individu OKU adalah satu tindakan yang tidak boleh dimaafkan oleh keluarganya.
Katanya, dia sudah menyerahkan tindakan selanjutnya kepada peguam yang dilantik keluarga bagi menuntut keadilan ke atas apa yang telah berlaku.
“Beberapa ahli keluarga individu yang didakwa terlibat dalam insiden itu ada datang berjumpa untuk meminta maaf dan minta saya tarik balik kes.
“Bagaimanapun, saya dan keluarga enggan maafkan, bertemu dengan mereka pun kami tidak mahu,” katanya ketika ditemui di rumah saudaranya di Kuala Ibai di sini semalam.
Terdahulu, Faridah dan keluarganya diziarahi Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin. Faridah berkata, dia dan anak-anak juga masih trauma dengan insiden yang menimpa suaminya yang disifatkan sebagai tindakan tidak berperimanusiaan.
Katanya, emosi seluruh ahli keluarga kini terjejas terutama anak ketiganya, Ahmad Fakhri, 19, yang mengakui cukup terganggu selepas video kejadian itu menjadi tular disebar luas di media sosial.
“Dia (Ahmad Fakhri) hampir hilang pertimbangan dan mahu membalas perbuatan individu yang memukul ayahnya. Bagi Ahmad Fakhri, perbuatan individu-individu berkenaan telah mencalar maruah keluarga.
“Namun, kami sempat menenangkannya dan minta dia bersabar. Kami tidak patut berkelakuan sama seperti mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Nor Al Faizan atau lebih mesra dipanggil Paijang kelihatan terharu hingga mengalirkan air mata sewaktu diziarahi Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim dan rakan-rakan sekelasnya termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili.
Lelaki itu kini berada di Wad Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah dalam keadaan stabil.
Maliaman berkata, Paijang di sahkan menghidap biopolar sejak tahun 1999 berikutan tekanan pelajaran sewaktu menuntut pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sebelum ini, negara digemparkan dengan rakaman beberapa video mengenai insiden seorang lelaki yang diserang, dipukul, ditendang selain diheret di sebuah pasar tani di Kemaman oleh sekumpulan lelaki hanya kerana mangsa terlanggar satu gerai di kawasan berkenaan.
Insiden itu bagaimanapun mencetuskan rasa tidak puas hati ramai pihak yang menyelar perbuatan itu kerana bertindak kasar ke atas seorang individu berstatus OKU.
Susulan itu, pelbagai pihak tampil untuk membantu termasuk menawarkan khidmat peguam kepada keluarga terbabit bagi menuntut keadilan.
Kosmo! semalam turut melaporkan anak mangsa berkongsi perasaan sayunya sebaik bapanya yang berstatus OKU mental diperlakukan dengan kejam.
Menerusi perkongsian di TikTok Aty, wanita itu berkongsi gambar bersama bapanya semasa majlis nikahnya berserta luahan yang meruntun hati ramai pengguna media sosial. “
Aboh rehat okey, kita semua sayang aboh (panggilan abah). Semoga Allah permudahkan segala urusan kita sekeluarga. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. Rehatlah abah, dunia terlalu kejam buatmu,” tulis wanita itu.


No comments:
Post a Comment