Oleh MOHD. AZLI ADLAN
SETIU – Keterujaan seorang isteri untuk hidup sebumbung
bersama suami tercinta selepas
menjadi pasangan jarak jauh (PJJ)
selama 11 tahun tidak kesampaian apabila lelaki itu maut dalam
kemalangan jalan raya kelmarin.
Lebih memilukan apabila Mohamad Shakiran Saidi, 36, yang
bertugas sebagai anggota tentera
di Johor terlibat nahas ketika
dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Kelantan untuk
menyambut Aidilfitri bersama
keluarga tercinta.
Mohamad Shakiran
dan rakannya, Muhammad Aminuddin Amran, 21, yang bertugas di
Kem 7 Workshop Briged
Tebrau meninggal dunia selepas kereta Honda
Civic dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kilometer
70, Jalan Kuala Terengganu Kota Bahru berhampiran Kampung Buluh di sini kelmarin.
Isteri Mohamad Shakiran, Nor
Fatin Mohd. Azhar, 36, berkata,
suaminya sudah lama merancang untuk menamatkan episod
PJJ mereka demi memberi lebih
perhatian kepada keluarga, terutama tiga anak yang semakin
membesar.
“Sudah lama kami menunggu
saat untuk tinggal bersama. Tapi
saya tak sangka, penantian itu
berakhir dengan dia pulang sebagai jenazah,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.
Cerita Nor Fatin lagi, sebelum
memulakan perjalanan pulang,
arwah suami sempat menghubunginya dan meluahkan
rasa rindu terhadap anak bongsu mereka, Muhamad Harasy
Mikhail yang baru berusia lapan
bulan.
Tambah Nor Fatin, Aidilfitri
tahun ini sepatutnya menjadi
lebih istimewa kerana buat pertama kali dalam tempoh 11 tahun
perkahwinan, mereka merancang untuk mengenakan pakaian
sedondon pada pagi raya.
“Arwah sendiri pilih tema merah. Dia beli baju Melayu untuk
dirinya. Saya pula sediakan pakaian saya dan anak-anak,” ujarnya.
Nor Fatin berkata, hatinya
bertambah hiba apabila melihat
baju Melayu berwarna merah
yang dibeli suaminya masih berada dalam Honda Civic dinaiki
ketika terlibat kemalangan.
Sementara itu, ibu Muhammad Aminuddin, Naimah Zakaria, 54, berkata, insiden melibatkan anak kelima dari enam
beradik itu seperti mengulangi
tragedi sama menimpa anak
keduanya yang turut maut akibat
kemalangan menjelang Aidilfitri
pada dua tahun lalu.
“Barulah saya faham kata-kata
Aminuddin yang sering mengulang ungkapan dia sama dengan
arwah abang keduanya.
“Rupanya cara kematian mereka sama iaitu kemalangan jalan
raya menjelang raya,” katanya.
Naimah berkata, Muhammad
Aminuddin juga pernah memberitahu untuk tidak membeli
pakaian raya tahun ini sebaliknya hanya mahu memakai kurta
putih pada pagi raya.
Dia yang menetap di Pulai
Chondong, Machang juga tidak
begitu bersemangat untuk menyambut Aidilfitri yang bakal
tiba hujung minggu ini.
“Rupa-rupanya ia petanda
saya akan hilang seorang lagi
anak lelaki. Ia bagai luka lama
berdarah kembali,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis
Daerah Setiu, Superintendan
Mohd. Zain Mat Dris berkata, kemalangan dipercayai berpunca
selepas kereta Honda Civic dipandu Muhammad Aminuddin
dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung
dengan sebuah treler dipandu
lelaki berusia 38 tahun.
Beliau berkata, impak pelanggaran menyebabkan treler terbabit mengelongsor ke laluan bertentangan lalu bergesel dengan
sebuah kereta Proton Saga sebelum merempuh kenderaan pelbagai guna, Perodua Alza yang diletak di dalam garaj di tepi jalan.
“Pemandu dan penumpang
kereta Proton Saga mengalami
cedera ringan akibat kemalangan itu dan menerima rawatan
pesakit luar di Unit Kecemasan
Hospital Setiu,” katanya.
Sementara itu, jenazah dua
anggota tentera darat tersebut
selamat dikebumikan mengikut
istiadat ketenteraan semalam.
Muhammad Aminuddin dikebumikan di Tanah Perkuburan
Islam Kampung Binjai, Mulong, Kota Bharu, Kelantan pada 4.35 pagi, manakala
Mohamad Shakiran di Tanah
Perkuburan Islam Kampung Kedondong Hilir, Bunut Susu, Pasir
Mas pada 10.35 pagi.