Wednesday, February 25, 2026

Kontraktor rugi RM107,995 ditipu tender palsu mesin jana kuasa

BESUT – Seorang kontraktor berputih mata apabila kerugian RM107,995 akibat diperdaya tender pembekalan mesin jana kuasa elektrik yang tidak wujud. 

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Rozaime Abd. Rahim berkata, kejadian berlaku selepas lelaki berusia 47 tahun itu dihubungi individu tidak dikenali yang menawarkan projek pembekalan kononnya untuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut di sini. 

“Mangsa yang bersetuju dengan tawaran tersebut telah menempah lima unit mesin jana kuasa elektrik daripada syarikat pembekal disyorkan suspek. 

“Dia telah membuat pembayaran keseluruhan RM107,995 menerusi lima transaksi ke dalam akaun bank diberi suspek antara 10 Februari hingga 12 Februari lalu,” katanya di sini semalam. 

Rozaime berkata, kontraktor itu hanya menyedari dirinya tertipu apabila membuat pengesahan dengan PPD Besut. 

Beliau berkata, pengurusan PPD Besut mengesahkan tidak pernah mengeluarkan tender pembekalan mesin jana kuasa elektrik yang didakwa oleh lelaki berkenaan. 

“Mangsa kemudian membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini kelmarin,” katanya.

No comments:

Post a Comment