Sunday, December 21, 2025

Tarik MyLesen B2 jika merempit

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seramai hampir 150,000 penerima lesen motosikal percuma menerusi program MyLesen B2 diperkenalkan kerajaan sejak tahun 2022 boleh berdepan tindakan pembatalan lesen sekiranya melanggar peraturan jalan raya termasuk merempit.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramly berkata, agensi sedang mengkaji mekanisme undang-undang termasuk menarik balik lesen diberikan sekiranya kemudahan itu disalah guna.

“Kita sedang memperincikan kaedah-kaedah bersesuaian untuk menarik semula lesen P (percubaan) atau B2 sekiranya ia datang daripada program MyLesen B2.

“Ini program yang ditanggung kerajaan. Kita tidak mahu sesuka hati mendapatkan lesen melalui bantuan tetapi tidak memandu dengan baik dengan melakukan kesalahan jalan raya,” katanya di Gong Badak di sini semalam.

Terdahulu, beliau menyerahkan lesen kepada 998 peserta program MyLesen B2 terdiri daripada pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi dan pusat kemahiran serta beliau seluruh Terengganu.

Menurutnya, begitupun, setakat ini, pemantauan JPJ mendapati rata-rata belia yang memililki lesen B2 sah daripada program terbabit berdisiplin mematuhi undang-undang jalan raya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kuota tambahan 10,000 bagi program MyLesen B2 yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada minggu lalu akan memberi tumpuan kepada pelajar sekolah seluruh negara.

“Keutamaan diberi kepada pelajar-pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun ke atas yang masih belum mempunyai lesen B2.

"Kita mahu memastikan mereka pergi (bermotosikal) ke sekolah dengan mempunyai lesen,” katanya. 

Aedy Fadly berkata, pelajar sekolah yang menyertai badan beruniform, Kadet JPJ memiliki kelebihan untuk berada dalam senarai akhir saringan kuota tambahan program MyLesen B2.

 Katanya, program itu akan bermula bulan depan dan semula 10,000 peserta terpilih dijangka memperolehi lesen B2 masing-masing selewat-lewatnya bulan November depan.

"Ia tambahan 15,000 kuota MyLesen B2 yang telah diselesaikan pada separuh pertama tahun ini.

"Harap program ini dapat diteruskan pada tahun depan berikutan sambutan hebat diterima saban tahun," katanya.

No comments:

Post a Comment