Friday, December 19, 2025

Ibu bapa pastikan anak bawah 16 tahun tak daftar media sosial

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Ibu bapa digesa memainkan peranan memastikan anak mereka berusia bawah 16 tahun tidak mendaftar akaun media sosial berikutan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 pada 1 Januari depan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata, larangan penggunaan media sosial terhadap kanak-kanak dan remaja bawah 16 tahun perlu dipatuhi demi keselamatan golongan tersebut.

“Ibu bapa perlu bijak mengimbangi kebebasan anak-anak dengan pengawasan yang lembut tetapi tegas.

“Peranan ibu bapa sangat penting, dunia digital anak-anak tidak boleh dibiarpun tanpa panduan,” katanya ketika merasmikan Karnival Kempen Internet Selamat peringkat Terengganu di sini hari ini.

Nik Kamaruzaman berkata, selain warga emas, kanak-kanak juga merupakan golongan paling berisiko terdedah dengan ancaman siber seperti buli digital, penipuan dalam talian, akaun palsu dan eksploitasi.

Beliau berkata, larangan penglibatan kanak-kanak dan remaja dalam media sosial merupakan inspirasi global dengan Australia telah menguatkuasakannya pada Rabu lalu.

“Komuniti juga perlu terlibat melindungi golongan kanak-kanak dan remaja daripada ancaman siber.

“Kita perlu sama-sama menyuburkan budaya menegur, melapor dan mencegah perilaku tidak sihat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment