Friday, January 3, 2025

Ramai tidak peduli bendera merah

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN dan MOHD AZLI ADLAN

ROMPIN – Meskipun ombak bergelora dan bendera merah dipasang di pantai-pantai pe­ranginan, namun orang ramai yang menghabiskan cuti persekolahan seolah-olah tidak meng­endahkan amaran bahaya apabila mandi-manda di kawasan tersebut. 

Tinjauan Kosmo! di Pantai Hiburan, di sini dan Pantai Sepat, Kuantan mendapati meskipun angin kuat dan ombak bergelora, para pengunjung tidak menghiraukan keadaan tersebut. 

Lebih menakutkan apabila golongan kanak-kanak dilihat leka bermain air dan mandi-manda tanpa memikirkan risiko yang bakal berlaku. 

Tinjauan di Pantai Hiburan mendapati terdapat satu ben­dera merah dipasang , malah tiada pengawal keselamatan yang bertugas di menara tinjau tersebut. 

Seorang pengunjung, Aishah Ismail, 68, berkata, dia terkejut apabila meliat masih ramai pengunjung yang mandi di pantai berkenaan sedangkan ombak dan angin begitu kuat. 

Dia yang datang bersama keluarga tidak membenarkan cucunya bermain air kerana bimbangkan keadaan ombak yang boleh merisikokan keselamatan. 

“Memang saya kerap datang ke sini bersama cucu, mereka mahu mandi pantai, tetapi saya tidak benarkan kerana ombak kuat, lagipun tanda amaran bendera merah sudah dipasang. 

“Apabila ada kanak-kanak lain mandi di pantai memang saya risau akan keselamatan mereka melihat angin dan ombak begitu kuat,” katanya baru-baru ini. 

Aishah berkata, walaupun tidak mandi pantai, namun cucunya gembira kerana terdapat banyak aktiviti lain boleh dilakukan termasuk bermain belon. 

Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun memberitahu, dia hanya bermain di kawasan cetek bersama rakan-rakannya sambil dipantau oleh penjaga. 

Katanya, meskipun ombak agak kuat, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk mandi dan bermain air memandangkan dia bersama keluarga hanya datang bercuti di kawasan pantai pada cuti persekolahan. S

ementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, pihaknya meletakkan bendera merah di pantai-pantai utama seperti Pantai Hiburan, Pantai Telok Cempedak, Pantai Sepat dan Pantai Batu Hitam, Kuantan. 

“Pemasangan bendera ini sebagai amaran tidak boleh mandi dan melakukan aktiviti air susulan laut bergelora dan angin kencang. 

“Monsun Timur Laut yang bermula awal November masih berlangsung dan semua pantai utama kita mempunyai pasukan penyelamat pantai bertugas untuk pemantauan dan nasihat kepada orang ramai,” katanya. D

i Kuala Terengganu, tinjauan di Pantai Pandak, Chendering dan Pantai Batu Burok mendapati dua pantai peranginan tersebut masih dipenuhi pengunjung luar dan setempat. S

eorang penduduk, Rohaida Md. Daros, 41, kesal kerana pengunjung seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan diri dan keluarga. 

“Memang kebanyakan mereka pelancong luar, tetapi mereka sepatutnya lebih cakna apabila melihat ombak besar setinggi hampir tiga meter bertalu-talu menghempas pantai. 

“Pantai Pandak sebenarnya kurang selamat untuk aktiviti air terutama mandi bukan sahaja sepanjang musim tengkujuh, malah bulan-bulan lain terutama sewaktu fenomena air pasang besar,” katanya. 

Tambahnya, pantai peranginan itu mempunyai ancaman arus karau yang boleh menghanyutkan mangsa ke tengah laut sekali gus membawa risiko lemas.

 “Kebanyakan penduduk setempat sedar ancaman itu tidak mandi di Pantai Pandak, lagipun sudah banyak kes lemas berlaku di Pantai Pandak yang kerap disiarkan media,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment