Translate

Wednesday, January 16, 2019

Tiada projek untuk ahli PH

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad me­negaskan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengulangi amalan Barisan Nasional (BN) yang memberi habuan politik berupa tender projek dan jawatan kepada ahli-ahlinya.

Beliau berkata, kesilapan serupa sekiranya diulangi menyebabkan PH juga ditolak rakyat seperti berlaku kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Jangan cuba amal apa yang te­lah dilakukan kerajaan lama (BN). Dahulu ahli dalam parti (UMNO) dapat keistimewaan dan jawatan tertentu walaupun tiada kebo­lehan.

“Ramai jadi kaya diberi kontrak walau tiada keupayaan. Akhirnya orang masuk UMNO bukan ke­rana percaya perjuangan parti itu tetapi demi keuntungan mereka sendiri,” katanya ketika merasmikan Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu di sini semalam.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata, PH telah berkempen mendedahkan dan menentang amalan tersebut sewaktu PRU-14 dan sudah pastilah pakatan yang membentuk kerajaan Persekutuan itu bakal ditolak rakyat pada pilihan raya akan datang sekiranya mengu­langi kesilapan BN ber­kenaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru ahli-ahli parti komponen PH termasuk Bersatu agar tidak terlalu memikirkan keuntungan peribadi apabila menceburi politik.

“PH tidak menjanjikan habuan kepada ahli-ahli parti tetapi berikrar untuk memulihkan dan memakmurkan lagi negara ini. Negara yang lebih makmur akan membolehkan semua rakyat mendapat faedah sehingga anak cucu kita,” katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mencadangkan agar ketua-­ketua bahagian dan ketua-ketua cawangan Bersatu diberikan projek kerajaan bagi mempe­rolehi lebih dana mempertahankan kemenangan parti dan PH pada pilihan raya akan datang.

Saranan Abdul Rashid yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya pada Perhimpunan Agung Bersatu kedua itu segera dikecam pelbagai pihak termasuk Ang­katan Bersatu Anak Muda (Armada) yang diketuai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

No comments:

Post a Comment