Translate

Wednesday, January 16, 2019

THT tamatkan kemarau julang Piala Sumbangsih buat pertama kali

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

JUARA bertahan Liga Hoki Malaysia (MHL), Pasukan Hoki Terengganu (THT) menamatkan kemarau menjulang Piala Sumbangsih apabila menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-1 menerusi penalti shoot out pada aksi di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam.

Sebelum ini, percubaan THT untuk meraih piala tersebut dikecewakan kesemuanya kepada musuh tradisi, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) sejak edisi 2015.

Keputusan seri 2-2 pada aksi penuh 60 minit tersebut membolehkan kedua-dua pasukan  THT dan UniKL terpaksa ber­puas hati dengan berkongsi satu mata pada perlawanan pembukaan MHL edisi ini.

THT bermula garang apabila meledak gol awal menerusi pukulan sudut penalti penyerang kebangsaan, Faizal Saari pada minit ketiga.

Gergasi Pantai Timur itu menambah gol kedua juga menerusi pukulan sudut penalti yang diambil pakar flick Korea Selatan, Jang Jong-hyun pada penghujung suku pertama perlawanan.

Tersentak ketinggalan 0-2, jurulatih UniKL, Arul Selvaraj bertindak menukar penjaga gol, Andrian Andy Albert dengan memasukkan pemain import dari Ireland, David John Harte.

UniKL yang juara bertahan Piala TNB kemudiannya mengemaskan rentak permainan sebelum berjaya merapatkan kedudukan 1-2 menerusi pakar flick kebangsaan, Muhammad Razie Abd. Rahim pada minit ke-30.

Muhammad Razie sekali lagi merobek gawang THT yang dikawal penjaga gol, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri pada minit ke-35 untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Tuan rumah berpeluang untuk kembali mendahului pada minit ke-55, namun pukulan sudut penalti kencang Jong-hyun berjaya diselamatkan Harte.

Perisai Piala Sumbangsih disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Sementara itu, jurulatih THT, I. Vikneswaran berkata, kejayaan menjulang Piala Sumbangsih buat pertama kali me­rupakan hadiah berharga buat peminat tegar kelab berkenaan.

“Juara Piala Sumbangsih buat kali pertama memang penting tetapi saya sebenarnya memberi fokus untuk mendapat tiga mata (menang).

“Apa pun, percaturan saya mengambil risiko dengan tidak menurunkan penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman bagi memberi ruang kepada pemain kebangsaan lain beraksi memberi hasil kemenangan hari ini (semalam),” katanya.

No comments:

Post a Comment