Translate

Tuesday, January 15, 2019

THT juara Piala Sumbangsih

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Juara bertahan Liga Hoki Malaysia (MHL), Pasukan Hoki Terengganu (THT) menamatkan kemarau untuk menjulang Piala Sumbangsih selepas menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-1 menerusi penalti shoot out pada aksi di Stadium Hoki Batu Buruk di sini sebentar tadi.

Sebelum ini,  percubaan THT untuk meraih piala tersebut dikecewakan kesemuanya di tangan musuh tradisi, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) sejak edisi 2015.

Keputusan seri 2-2 pada aksi penuh 60 minit tersebut membolehkan kedua-dua pasukan  THT dan UniKL terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata pada perlawanan pembukaan MHL edisi ini.

THT bermula garang apabila meledak gol awal menerusi pukul sudut penalti penyerang kebangsaan, Faizal Saari pada minit ke-3.

Gergasi Pantai Timur itu menambah gol kedua juga menerusi pukul sudut penalti yang diambil pakar flick Korea Selatan, Jang Jonghyun pada pada penghujung suku pertama perlawanan.

UniKL yang juara bertahan Piala TNB kemudiannya mengemaskan rentak permainan sebelum berjaya merapatkan kedudukan 1-2 menerusi pakar flick kebangsaan, Muhammad Razie Abd. Rahim pada minit ke-30.

Muhammad Razie sekali lagi merobek gawang THT yang dikawal penjaga gol, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri pada minit ke-35 untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Aksi ditentukan oleh penalti shoot out selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga wisel penamat.


Perisai Piala Sumbangsih disampai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment