Translate

Wednesday, January 9, 2019

Separuh premis di Terengganu gagal pamer notis larangan merokok

KUALA TERENGGANU – Hampir 50 peratus premis makanan meliputi restoran, medan selera dan gerai makan di Terengganu didapati masih gagal mempamerkan papan tanda la­rangan merokok.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohd. Jusoh berkata, kegagalan itu melibatkan sebanyak 1,368 premis daripada 2,838 premis makanan yang diperiksa pasukan penguat kuasa Jabatan Kesihatan negeri sejak hari pertama penguatkuasaan larangan merokok pada 1 Januari hingga kelmarin.

“Kesemua premis makanan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok terbabit telah diberikan notis amaran. Daerah Kuala Terengganu mencatatkan pengeluaran notis amaran tertinggi kepada pengusaha premis makanan tersebut iaitu 269.

“Ia diikuti Hulu Terengganu (254), Besut (203), Kemaman (201), Kuala Nerus (182), Setiu (104), Dungun (89) dan Marang (66),” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan penguat­kuasaan larangan merokok di premis makanan di Medan Selera Kuala Terengganu Walk di sini semalam.

Menurut Mohd. lagi, setiap pengusaha premis makanan mempunyai tanggungjawab untuk memasang tanda larangan merokok mengikut spesifikasi betul iaitu berukuran 50 sentimeter (cm) x 40 cm di lokasi yang mudah dilihat pelanggan.

Begitupun katanya, beliau berpuas hati apabila sepanjang pemantauan yang dilakukan mendapati tiada pengusaha dan pekerja­ kedai makan yang didapati merokok dan kehadiran anggotanya mendapat kerjasama baik daripada semua pihak.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pasukan penguat kuasa jabatannya juga telah mengeluarkan 88 notis amaran kepada pelanggan di seluruh negeri itu yang didapati masih me­rokok di premis makanan sejak pe­nguatkuasaannya bermula.

“Setakat ini, hanya notis amaran dikeluarkan sebagai langkah pendidikan dalam tempoh enam bulan sebelum penguatkuasaan penuh mulai 1 Julai depan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun bagi ke­salahan merokok di premis makanan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment