Translate

Thursday, January 3, 2019

Ribut tropika Pabuk dijangka reda esok, sedang menghala Teluk Benggala

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu dijangka menerima kesan kemusnahan minimum daripada tempias ribut tropika Pabuk yang sedang melanda perairan Pantai Timur sejak semalam.

Setiauasaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk A. Rahman Yahya berkata, setakat pukul 4 petang ini, pusat pusaran angin ribut tropika tersebut berada kira-kira 217 kilometer dari perairan Terengganu di Laut China Selatan dengan membawa angin dengan kelajuan hampir 68 kilometer sejam (kmj).

Beliau berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia, tempias ribut tropika Pabuk tersebut yang kini melanda negeri-negeri Pantai Timur termasuk Terengganu dijangka reda mulai pukul 6 pagi esok dan ia dilaporkan sedang menuju ke Teluk Benggala di Asia Selatan.

"Ribut berkenaan menyebabkan hampir keseluruhan Terengganu dilanda hujan lebat dan sederhana sehingga esok (hari ini) selain membawa angin dengan kelajuan antara 50 kmj hingga 30 kmj ke negeri ini.

"Walaupun masih belum menerima laporan rasmi, saya difahamkan berlaku sedikit kerosakan rumah, pokok tumbang dan hakisan di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus disebabkan tempias ribut itu," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Bencana Terengganu di sini hari ini.


Turut hadir Pengarah Meteorologi Terengganu, Rosli Zakaria @ Che Kob dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment