Translate

Tuesday, January 8, 2019

Pantai Timur dibadai ribut Pabuk

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan TOREK SULONG

KUALA TERENGGANU – Ribut tropika Pabuk yang sedang bergerak ke arah barat laut di perairan Laut China Selatan dengan membawa angin kencang dan hujan lebat menjejaskan dua negeri Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk A. Rahman Yahya berkata, setakat pukul 4 petang, pusat pusaran angin ribut tropika tersebut berada kira-kira 217 kilometer dari perairan Terengganu di Laut China Selatan de­ngan membawa angin dengan kelajuan hampir 68 kilometer sejam (kmj).

“Berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia, tempias ribut tropika Pabuk yang kini melanda negeri-negeri Pantai Timur dijangka reda bermula pukul 6 pagi esok (hari ini) dan ia dilaporkan sedang menuju ke Teluk Benggala di Asia Selatan.

Jelasnya, ribut berkenaan menyebabkan hampir keseluruhan Terengganu dilanda hujan lebat dan sederhana semalam selain membawa angin dengan kelajuan melebihi 60kmj ke negeri tersebut.

“Saya difahamkan berlaku sedikit kerosakan rumah, pokok tumbang dan hakisan di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus disebabkan tempias ribut itu,” ka­tanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Bencana Terengganu di sini semalam.

Sementara itu, di Tum­pat, Kelantan, beberapa kediaman mengalami ke­rosakan apabila angin kencang yang mula me­landa kawasan tersebut sejak pukul 2 pagi semalam menyebabkan atap beberapa rumah penduduk tercabut.

Penduduk Kampung Pantai Geting, Rohana Mamat, 52, berkata, kejadian ribut kali ini agak kuat dan berlaku sepanjang hari berbeza dengan kebiasaannya.
“Selalunya angin kencang sekejap-sekejap sahaja tetapi hari ini ribut kuat sepanjang hari. Atap zink pun tercabut, manakala rumah dirasakan bergegar apabila angin kencang datang,” katanya ketika ditemui Kos­mo! semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Yus Heary Mahmud berkata, pihaknya meningkatkan rondaan pesisir pantai untuk menasihatkan penduduk agar menjauhi kawasan berbahaya  berikutan amaran angin kencang dan laut bergelora.

“Bagaimanapun terdapat segelintir penduduk tidak mengetahui amaran tersebut dan menganggap ia sebagai kea­daan yang lazim berlaku ketika musim tengkujuh.
“Kita menjalankan rondaan  di sepanjang 13 kilometer pantai di daerah ini  setiap dua jam khususnya kawasan yang menjadi tumpuan ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari memberitahu tempias ribut tersebut turut membawa hujan lebat dan angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50kmj ke negeri-negeri utara Semenanjung.

No comments:

Post a Comment