Translate

Tuesday, January 1, 2019

Mayat dua beradik dihanyutkan ombak besar ditemui

DUNGUN - Mayat dua daripada tiga beradik perempuan yang hilang akibat dihanyutkan ombak besar di Pantai Teluk Gadung di sini semalam telah ditemui hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman berkata, mayat pertama, Nurain Sofia Zawawi, 8, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 7.30 pagi.

"Mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui terapung di permukaan laut pada kedudukan kira-kira 10 meter dari lokasinya dilaporkan hilang.

"Mayat adiknya, Nurain Salsabila pula ditemui terapung di permukaan laut pada pukul 9.20 pagi pada kedudukan lebih kurang 1.5 kilometer (km) dari lokasinya dihanyutkan," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Mohamad Zohan berkata, mayat kedua-dua beradik itu telah dihantar ke hantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini selepas proses pengecaman dilakukan ahli keluarganya.

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang masih hilang iaitu kakak sulung dua beradik berkenaan, Nurain Fatma, 10, masih diteruskan.

"Fokus pencarian diperluaskan pada radius lima hingga 10 km dari tepi Pantai Teluk Gadung yang merupakan lokasi ketiga-tiga beradik itu hilang," katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan ketiga-tiga beradik itu dihanyutkan ombak besar yang tiba-tiba datang ketika mereka bermain di gigi pantai berkenaan.

Sewaktu kejadian, Nurain Fatman dan dua adiknya yang berasal dari Kampung Pangkal Pisang, Peringat, Kelantan sedang beriadah di pantai peranginan itu bersama ibu saudara mereka.

Keluarga tersebut bercuti di bandar ini dan menginap di salah sebuah inap desa berhampiran Pantai Teluk Gadung itu beberapa jam sebelum kejadian. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment