Translate

Thursday, January 10, 2019

HSNZ rai bayi IVF ke-100

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) meraikan kelahiran bayi kembar yang ke-100  dan 101 menerusi teknik In-Vitro Fertlilization (IVF) sejak penubuhan Unit Perawatan Reproduktif di hospital itu sejak 10 tahun lalu.

Bayi kembar lelaki dan perempuan yang merupakan anak kepada pasangan Zairi Anuar Zakaria, 36, dan Nurfidiamil Razali, 35, tersebut dilahirkan selang seminit pada pukul 11.28 pagi dan 11.29 pagi, kelmarin.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohd. Jusoh berkata, Nurfidiamil Razali disahkan hamil setelah menjalani rawaran IVF menerusi pemindahan pembekuan embrio pada 3 Mei tahun lalu.

"Sebelum itu, pasangan Zairi Anuar dan Nurfidiamil yang sudah lapan tahun berkahwin mula mendapatkan rawatan IVF pada tahun 2016.

"Sejak Unit Perawatan Reproduktif beroperasi di HSNZ pada tahun 2009, seramai 101 bayi secara IVF telah berjaya dilahirkan dengan kelahiran pertama pada 31 Ogos 2010," katanya selepas meraikan bayi kembar tersebut di Pusat Rawatan Ibu dan Anak HSNZ di sini hari ini.

Mohd. berkata, secara purata seramai 4,000 pasangan yang mempunyai masalah untuk memperolehi zuriat dari Terengganu, Pahang dan Kelantan telah mendapatkan rawatan di Unit Perawatan Reproduktif HSNZ tersebut pada setiap tahun.

Menurut beliau, seramai 700 pasangan telah berjaya menjalani rawatan ART-IVF sejak tahun 2009 dengan peratus kejayaan kini telah meningkat kepada 30 peratus.

"Caj dikenakan pula tidak melebihi RM4,000 iaitu empat kali ganda lebih murah berbanding di hospital swasta.


"Antara kriteria yang ditetapkan Kementerian Kesihatan untuk layak mendapatkan rawatan reproduktif di hospital kerajaan seperti HSNZ ialah bakal ibu berusia 42 tahun ke bawah, masih tidak mempunyai anak, tidak mempunyai penyakit berjangkit dan tiada risiko komplikasi kehamilan," katanya. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment