Translate

Wednesday, December 5, 2018

Mati dipukul angkara curi pisang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki menemui ajal dalam keadaan me­nyayat hati apabila dia dibelasah sampai mati oleh seorang pekebun gara-gara tindakannya yang dipercayai mencuri beberapa tandan pisang nangka sebelum cuba menjual buah tersebut di sebuah rumah peraih di Kampung Tebakang, Bukit Payung dekat Marang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mayat mangsa berusia 42 tahun itu ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah selepas kepalanya dipercayai dipukul dengan tandan pisang dan batang besi oleh suspek berusia 38 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, sebelum kejadian, mangsa yang mempunyai rekod berkaitan dadah disyaki telah mencuri beberapa tandan pisang di kebun yang terletak di Alor Limbat, Marang.

“Mangsa yang tidak bekerja dan rakan lelakinya berusia 37 tahun dikatakan mahu menjual pisang tersebut kepada seorang peraih di Kampung Tebakang sebelum didatangi pekebun tersebut bersama anak saudaranya berusia 15 tahun yang menaiki sebuah lori.

“Pekebun pisang berkenaan yang geram kemudian bertindak memukul kepala mangsa dengan batang besi dan tandan pisang yang dipercayai dicuri dari kebunnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Fazlisyam berkata, sewaktu kejadian, anak saudara pekebun tersebut yang merupakan remaja keciciran persekolahan berada di dalam lori manakala rakan mangsa melarikan diri.

Menurut beliau, polis yang menerima maklumat berhubung insiden tersebut telah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa telah meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.
“Proses bedah siasat akan dilakukan esok (hari ini). Berdasarkan pemeriksaan luaran, lelaki itu dipercayai dipukul de­ngan objek keras pada kepala. Rakan mangsa dan anak saudara suspek utama ditahan di beberapa lokasi di Marang antara pukul 5 petang hingga 11 malam untuk membantu siasatan.

“Suspek utama pula telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang pada pukul 11 malam tadi (kelmarin). Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati suspek utama yang merupakan pekebun pisang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau seperti menceroboh, penyalahgunaan dadah dan mencederakan orang.

“Saya nasihatkan orang awam tidak menghukum penjenayah dengan tangan sendiri sebalik­nya menyerahkan kepada pihak berkuasa. Sebenarnya beberapa hari sebelum kejadian semalam (kelmarin), polis telah berjaya menangkap dua penjenayah yang dipercayai mencuri pisang bagi kes lain di negeri ini.

“Bagaimanapun bagi kes ini, tiada laporan polis dibuat berhubung kecurian pisang di kebun suspek utama,” ujarnya.
Difahamkan, pisang nangka merupakan antara pisang popular dalam kalangan penduduk Malaysia dan sesuai untuk digoreng selain dijadikan kerepek pisang.

Harga bagi pisang jenis ini adalah sekitar RM3.50 sekilogram.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Marang, Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan ketiga-tiga suspek ditahan reman selama lima hari sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment